BANGKOK: Ketua jurulatih perseorangan lelaki Malaysia, Datuk Misbun Sidek tidak mengambil endah berhubung status ‘underdog' pasukan negara pada saingan Piala Thomas kali ini yang akan berlangsung di Impact Arena di sini, mulai Ahad. Misbun berkata perkara lebih penting adalah keinginan untuk menang yang tinggi dalam kalangan pemain setelah menjalani persiapan begitu rapi bagi menghadapi kejohanan berkenaan. "Mereka (pasukan lain) memandang kita sebagai 'underdog'. Apa yang penting pemain kita mempunyai keinginan (untuk menang) dan persiapan kita di tahap tertinggi," katanya kepada wartawan Malaysia selepas memantau latihan akhir skuad Piala Thomas negara di Impact Arena pada Sabtu. Pasukan negara akan membuka tirai saingan menentang Rusia pada Isnin ini, dan Misbun berkata skuad negara berkemungkinan menampilkan barisan terkuat walaupun terdapat spekulasi Datuk Lee Chong Wei akan direhatkan pada aksi tersebut. Beliau, bagaimanapun berkata keputusan akhir barisan pemain negara menentang Rusia hanya akan diputuskan selepas perbincangan dengan jurulatih Malaysia yang lain. Selepas berdepan Rusia, Malaysia akan menentang Algeria pada Selasa dan Denmark keesokan harinya. Chong Wei. Sementara itu pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata beliau perlu bersedia pada bila-bila masa sekiranya diminta tampil bagi mengambil alih tempat Chong Wei menentang mana-mana pasukan lawan. "Sebagai pemain kita perlu bersedia untuk menghadapi semua situasi," katanya ketika ditanya kemungkinan Chong Wei direhatkan pada perlawanan pertama negara menentang Rusia. Pemain beregu negara Goh V Shem pula berkata, pemain negara sudah melupakan persembahan buruk pada Sukan Komanwel baru-baru ini, dan memberi sepenuh fokus pada kempen Piala Thomas ini. "Kita sudah melupakan apa yang berlaku di Sukan Komanwel, fokus kini adalah kepada Piala Thomas," katanya yang bakal bergandingan dengan Tan Wee Kiong. Skuad Piala Thomas kali ini diketuai Chong Wei bersama pemain muda, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain dan Leong Jun Hao. Beregu lelaki pula dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Teo Ee Yi akan bergandingan dengan pemain profesional Mohd Arif Latif. - Bernama