suria

Kafa guna khidmat pemain pertahanan Tunisia

Alaeddine dibawa masuk bagi memperkukuh barisan pertahanan pasukan Kelantan. - Facebook Alaedinne Bouslimi

KOTA BHARU: Dalam usaha memperkuatkan pasukan The Red Warriors (TRW)  menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengikat pemain import baharu  dari Tunisia, Alaeddine Bouslimi.

Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pemain berusia 28 tahun itu dibawa masuk bagi memperkukuh barisan pertahanan pasukan berkenaan.

"Beliau akan digandingkan dengan pemain import dari Brazil, Cassio Francisco di posisi pertahanan bagi menggantikan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim yang berpindah ke pasukan PKNS FC," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Baru-baru ini, Kafa melakukan rombakan dengan menamatkan kontrak beberapa pemain termasuk pemain import dari Brazil, Bruno Lopez, setelah gagal memberi sumbangan kepada pasukan dalam perlawanan sebelum ini.

Bibi Ramjani berkata Alaeddine yang sebelum ini bermain bersama kelab CS Hamam-LIF, menandatangani kontrak untuk beraksi dengan TRW sehingga November depan.

"Alaeddine dijangka diturunkan pada perlawanan Liga Super apabila Kelantan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras,  Selasa  ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KAFA berhasrat melepaskan dua lagi pemain import pasukan itu, Margaro Gomis (Perancis) dan Do Dong Hyung (Korea Selatan) tidak lama lagi.

"Kita berharap ada pasukan berminat dengan khidmat kedua-dua pemain itu,” katanya.

Alaeddine Bouslimi, Kafa

Artikel Berikut

Artikel Lain