suria

Ronaldo sedia bayar 14 juta euro elak dipenjara

CRISTIANO Ronaldo sanggup membayar sebanyak 14 juta euro kepada pihak berkuasa cukai Sepanyol dan mengakui kesalahannya dalam empat pertuduhan mengelak cukai untuk mengelak dipenjarakan.

Bintang Real Madrid itu dilaporkan menawarkan satu kertas kerja secara rasmi kepada Agensi Percukaian Sepanyol buat pertama kalinya.

Akhbar Sepanyol, El Mundo melaporkan Ronaldo telah menawarkan untuk membayar 14 juta euro kepada agensi terbabit dan mengakui empat dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Tawaran itu hanya akan dibayar sekiranya dia tidak dipenjarakan dan dakwaan terhadap penasihatnya termasuk ejen Jorge Mendes digugurkan.

Agensi pemugut cukai Sepanyol mendakwa Ronaldo mengelak membayar cukai sebanyak 14.7 juta euro yang dijana menerusi hak imejnya antara 2011 dan 2014.

Pihak pendakwa sebelum ini berkata mereka akan mendesak Ronaldo supaya melunaskan bayaran tersebut selain membayar denda yang dianggarkan bernilai 100 juta euro.

Jabatan Perbendaharaan Sepanyol bagaimanapun dilaporkan bersedia mempertimbangkan kertas cadangan Ronaldo dan belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

Jika jabatan tersebut menolak kertas cadangan itu, Ronaldo didapati bersalah dan boleh berdepan hukuman penjara selama tiga tahun.

Menurut majalah Forbes, Ronaldo memperoleh pendapatan sebanyak 69 juta euro pada 2017.

Bintang Portugal itu dilaporkan mahu menutup kes percukaian itu sebelum aksi sepak mula Piala Dunia yang akan membuka tiranya pada 14 Jun ini.

Cristiano Ronaldo, cukai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain