BANGKOK: Skuad negara memulakan kempen Piala Uber dengan langkah kiri apabila tewas kepada Indonesia 2-3 pada saingan peringkat kumpulan di Impact Arena di sini, hari ini. Malaysia memulakan saingan dengan baik apabila berjaya mengutip mata pertama menerusi pemain perseorangan wanita negara Sonia Cheah yang menewaskan Fitriani Fitriani dalam pertarungan tiga set. Pemain perseorangan pertama negara itu tewas set pertama 10-21, sebelum bangkit pada set kedua 21-17 dan mencatat kemenangan 21-14 dalam set penentuan. Bagaimanapun, harapan untuk melihat pasukan negara mengutip mata kedua menerusi pasangan beregu Goh Yea Ching-Lee Meng Yean gagal apabila mereka tewas mudah kepada gandingan Greysia Poli-Apriyani Rahayu 13-21, 14-21. Hasrat skuad Malaysia untuk kembali berada di hadapan dipikul pemain perseorangan kedua negara, yang juga merupakan bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei. Namun usaha Jin Wei untuk memberi mata kedua kepada Malaysia tidak kesampaian apabila beliau tumpas kepada Gregoria Mariska Tunjung dalam persaingan sengit dua set 20-22, 16-21. Mata ketiga dan kemenangan skuad Indonesia diperoleh menerusi pasangan beregu kedua mereka, Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta yang menumpaskan pasangan Malaysia dalam aksi sengit tiga set. Dalam set pertama pasangan Indonesia itu menang 24-22, namun terpaksa akur kepada beregu Malaysia pada set kedua dengan 20-22, sebelum pasukan lawan itu bangkit semula pada pada set ketiga dengan kemenangan 21-12. Usaha Malaysia untuk memperoleh mata kedua akhirnya berhasil menerusi pemain perseorangan ketiga Kisona Selvaduray yang terpaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan Ruselli Hartawan dalam perlawanan tiga set. Kisona tewas set pertama 21-23, sebelum memperkemaskan permainan pada dua set berikutnya dengan kemenangan 23-21 dan 21-13. Malaysia akan meneruskan kempen Piala Uber menentang China pagi esok, dan bertemu Perancis, Rabu ini. - BERNAMA