PETALING JAYA: Sesuatu yang lama dinantikan apabila Liverpool berpeluang merangkul trofi Liga Juara-Juara musim ini selepas 13 tahun menjelang final di Stadium NSC Olimpiyskiy, Kiev awal pagi Ahad ini. Bahang ke pentas akhir menetang juara bertahan Real Madrid bukan sahaja dirasai penyokong The Reds di England, malah tempiasnya turut dirasai peminat fanatik di Malaysia. Lebih menarik, salah seroang penyokong tegar, Datuk Yasran Hussien sudah pun terbang ke Ukraine awal pagi ini (Jumaat) untuk menyaksikan sendiri kemeriahan aksi akhir barisan pemain kesayangannya. Yasran,49, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Tok Yan' di laman Facebooknya merupakan peminat setia Liverpool sejak awal 70-an. Yasran (duduk jersi oren) bersama sebahagian daripada keluarga Liverpool. "Mula serius menyokong Liverpool pada tahun 80-an. Ketika itu zaman otai Kenny Dalglish, Ian Rush dan beberapa lagi yang lain. "Memang sesiapa pun kalau menjadi penyokong setia, mesti ada impian untuk ke Anfield. "Dan bila sudah ada rezeki, saya mula pergi London dan melihat secara langsung lebih kurang tujuh atau lapan kali. "Tetapi untuk perlawanan lain (bukan Liverpool) saya tetap pergi juga jika kebetulan berada di London," ceritanya kepada mStar Online sebelum berangkat ke Kiev. Kelibat Yasran di stadium ketika aksi Liverpool memang tidak asing lagi, namun yang paling membanggakan apabila Jalur Gemilang sentiasa di sisinya. Walaupun perlawanan tidak melibatkan kelab atau skuad kebangsaan, Yasran dengan tidak segan silu mengibar bendera negara di Anfiel. Foto kredit: Facebook Datuk Yasran "Itu cara saya meraikan kegembiraan bersama Liverpool. Dan ia juga adalah untuk penyokong-penyokong The Reds di Malaysia. "Saat manis ketika berada di sana, saya akan berkongsi dengan semua penyokong Liverpool. Malah video klip saya ketika bertemu dengan Mohamad Salah baru-baru ini pun menjadi tular di negara ini. "Amat teruja sekali. Pun begitu saya juga merupakan penyokong setia Harimau Malaya. Sebelum ini aksi Piala AFF Suzuki saya sendiri pergi ke stadium. "Manakala bagi kelab, saya penyokong Selangor walaupun syarikat saya merupakan salah satu penaja bagi pasukan Kuala Lumpur FA," ujar Pengarah Suez Capital Sdn Bhd ini. Mengenai tiket perlawanan akhir Liga Juara-Juara ini, Yasran mengakui agak mahal daripada biasa. Yasran berswafoto dengan Salah. "Tiket sudah dibeli sejak dua minggu lalu. Semua sudah 'settle' termasuk visa. "Perjalanan ke Kiev bukan mudah kerana banyak prosedur yang perlu diikuti. Saya bernasib baik semua urusan itu tidak ada masalah. "Harga hotel yang sangat mahal, jadi saya mengambil keputusan untuk buat 'kerja gila'... balik hari sahaja. "Mungkin saya akan singgah di masjid di sana sementara menunggu masa perlawanan. Kali ini saya mungkin pergi berdua dengan kawan (Edlin Ghazaly), tetapi dia belum pasti lagi. "Mungkin sesetengah orang menganggap ianya satu pembaziran dengan membeli tiket penerbangan dan perlawanan yang mahal. Tetapi bagi saya ia merupakan satu kepuasan. "Setiap orang ada minat sendiri yang berbeza-beza.Dan saya bersyukur minat saya ini mendapat sokongan penuh daripada keluarga terutama isteri saya , Mega Marisssa Malek. "Kami sekeluarga memang peminat setia Liverpool," jelas Yasran. Dalam pada itu, Yasran memberitahu Mohamed Salah adalah fenomena baharu bagi semua penyokong Liverpool. "Dia membawa momentum luar biasa. Bukan sahaja untuk kelab, malah menjadi perhatian seluruh dunia. Namanya juga dijadikan lagu kelab. Malah dia dan seorang lagi pemain Sadio Mane merupakan pemain Islam yang dihormati. "Apa yang lebih membuatkan saya makin sayang dengan Liverpool apabila mereka tidak membezakan agama kerana di stadium ada sediakan surau untuk penyokong Islam," jelasnya. Yasran berharap pada perlawanan akhir ini, Liverpool akan menang dengan jaringan 2-0.