MOHAMED Salah tiba di Sepanyol untuk menjalani rawatan kecederaan bahu yang dialaminya pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad lalu. Dengan memakai hood di kepala, Salah berjalan dengan pantas sebaik tiba di balai ketibaan dan enggan menjawab soalan dikemukakan seorang wartawan TV Sepanyol. Wartawan EL Chiringuito TV bertanya kepada Salah sama ada dia sudah bersedia untuk aksi Piala Dunia? 'Adakah awak fikir Ramos (mencederakan anda) secara sengaja pada aksi final Liga Juara-Juara? 'Adakah anda akan bermain untuk Real Madrid musim depan? - segala persoalan itu tidak dijawab oleh Salah. Malah wartawan itu cuba menukar soalannya dengan bertanya 'bagaimana keadaan anda? 'Ramai orang bimbang mengenai kecederaan anda' - pertanyaan itu turut tidak diendahkan Salah. Salah yang masih berteka-teki mengenai penampilannya pada Piala Dunia menimbulkan kebimbangan di kalangan penyokong Mesir yang berharap dia boleh melakukan kejutan pada penampilan pertama pasukan itu di kejohanan berprestij dunia itu sejak 1990. Pemain Liverpool itu menjaringkan 44 gol pada musim lalu dan merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan dan membantu The Reds mara ke final Liga Juara-Juara. Salah bergelut dengan kecederaan bahu selepas dikasari pemain pertahanan Real, Sergio Ramos. Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan bahawa Salah akan terlepas aksi Piala Dunia yang akan membuka tirainya tiga minggu dari sekarang. Namun Salah menerusi Twitternya pada Ahad menyatakan keyakinan dia boleh mewakili Mesir untuk kempen Piala Dunia di Rusia. Persekutuan Bola Sepak Mesir berkata Salah memulakan rawatan pemulihan kecederaannya pada Ahad. Malah pemain itu dilaporkan berada dalam keadaan bersemangat dan berusaha untuk cepat pulih agar dapat mewakili pasukan kebangsaannya. Salah menjalani rawatan di Sepanyol ditemani Presiden Persekutuan Bola Sepak Mesir, doktor pasukan (Mesir) dan juga pasukan perubatan Liverpool.