PENJAGA gol Liverpool Loris Karius ditawarkan laluan keluar dari Anfield. Karius berdepan mimpi ngeri apabila pasukannya tewas di tangan Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad lalu. Penjaga gol kelahiran Jerman itu dikecam kerana melakukan dua kesilapan mudah yang memberi laluan kemenangan 3-1 Real di Kiev. Spekulasi mula tersebar bahawa kedudukan Karius sudah tidak lagi selamat apabila Liverpool berminat untuk membawa masuk Gianluigi Donnarumma dari Milan dan Alisson (Roma). Malah kelab divisyen tiga Itali, Rimini FC menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Karius secara pinjaman selama satu musim. "Pada 22 Jun, Karius akan berusia 25 tahun. Saya ingin melihat penjaga gol itu mewakili Rimini. "Saya akan gembira jika dapat bertemu dengannya di Rimini dan mengingatkannya bahawa dia perlu berani untuk memahami pengajaran terbaik dalam hidup, amat mencabar dan sukar ditanggung. "Kita semua pernah melalui pengalaman seperti ini, malang baginya, pengalaman itu dihadapan jutaan orang. Saya ingin membantu Karius menjadi contoh dalam bola sepak, seperti dalam hidup, jatuh dan kemudian bangun berdiri di atas kaki sendiri. "Saya mahu menawarkan hadiah sempena hari lahirnya. Setahun kontrak bersama Rimini FC, kelab ideal untuk memulihkan semula ketenangan, kepercayaan diri dan kekuatan untuk merealisasikan impiannya," kata Presiden Rimini Giorgio Grassi dalam surat terbuka kepada Karius.