KUALA LUMPUR: Berbeza dengan sasaran tahun sebelum ini, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyifatkan keutamaannya adalah persediaan ke Sukan Asia Jakarta, Indonesia berbanding Kejohanan Dunia di Nanjing, China. Tidak mahu melepaskan peluang beraksi di temasya berprestij itu Chong Wei berkata penampilannya di Sukan Asia di Jakarta, Indonesia pada Ogos ini sangat penting dan terakhir kerana beliau tidak mungkin menyertai penganjuran edisi seterusnya berikutan faktor usianya akan mencecah 40 tahun. Chong Wei dijadualkan beraksi pada Kejohanan Dunia pada 30 Julai-5 Ogos kemudian hanya mempunyai sepuluh hari untuk kembali bertenaga dan fokus bagi menghadapi Sukan Asia yang akan berlangsung secara rasminya pada 18 Ogos-2 Sept. “Sukan Asia kali ini adalah terakhir. Empat tahun lagi saya tidak berpeluang untuk bermain. Saya juga akan menyertai Kejohanan Dunia sebelum itu, tetapi kali ini saya tidak boleh fokus dalam semua kejohanan besar. “Karakter saya dalam setiap kejohanan bukan sekadar menyertai sahaja tetapi saya akan berusaha untuk menang, sekiranya kalah saya perlu terima,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat. Seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia, pemain nombor tujuh dunia itu belum pernah memenangi pingat emas di Sukan Asia. Rekod pencapaian cemerlangnya adalah satu pingat perak di Guangzhou edisi 2010 dan dua pingat gangsa pada 2006 (Doha) dan 2014 (Incheon). Chong Wei berkata beliau tidak akan berhenti berusaha untuk merangkul kejuaraan dunia sepanjang kariernya kerana masih mempunyai peluang itu pada tahun depan. “Seperti saya sering katakan, tahun ini bukan mudah, saya dan jurulatih sudah berbincang mengenai persediaan dalam kejohanan penting. Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya memastikan keadaan fizikal dan mental berada dalam tahap yang baik,” katanya.- Bernama