KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berjanji akan membayar gaji pemainnya untuk sebulan Isnin ini bagi membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Naib Presiden 3 persatuan itu, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata PFA mempunyai dana mencukupi untuk membayar sebulan gaji pemainnya buat masa ini. “Kita sentiasa berusaha mencari jalan terbaik bagi mengatasi kemelut kewangan bagi menyelesaikan tunggakan (gaji) bulan Mac dan April,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi, pada Sabtu. Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim banyak berkorban untuk menyelamatkan bola sepak Perlis namun selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, beliau mungkin tidak lagi akan memberi komitmen terhadap PFA. Mohd Abdul Karim Khan berkata PFA akan menemui Menteri Besar Perlis secepat mungkin untuk membincangkan masalah kewangan yang dihadapinya. Mengenai peletakan jawatan Presiden PFA Ir Shaharuddin Ismail, beliau berkata pihaknya tidak menghalang tindakan Shaharuddin yang turut melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam UMNO Perlis. Mohd Abdul Karim Khan berkata PFA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut untuk mencari presiden baharu dalam masa terdekat. Katanya para pemain pula telah berjanji untuk memberikan yang terbaik walaupun terpaksa mengharungi pusingan kedua Liga FAM dalam serba kekurangan.