KUALA LUMPUR: Selangor berjaya menemui semula rentak kemenangan selepas empat perlawanan apabila menewaskan pasukan tercorot, Kelantan 4-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, Jumaat malam. Kemenangan keempat dalam liga tersebut menyaksikan skuad Gergasi Merah naik satu anak tangga ke kedudukan kelapan menerusi kutipan 14 mata daripada 12 perlawanan setakat ini. Penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia del Burgo muncul wira Selangor setelah meledak jaringan hatrik pada minit ke-31, 36 dan minit ke-82, manakala satu lagi gol dijaringkan pemain antarabangsa Indonesia, Evan Dimas Darmono, pada minit ke-38. Dalam pada itu, Kedah diaibkan di laman sendiri setelah tewas mengejut 2-0 kepada pasukan bawahan liga, Melaka United di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Dua gol pasukan pelawat dijaringkan oleh pemain import dari Belarus, Yahor Zubovich pada minit ke-41 dan pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang-Hoon pada minit ke-89. Sementara itu, dalam aksi tunggal Liga Premier, kelab Terengganu FC II (TFC II) gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 berdepan Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Pulau Pinang membuka jaringan menerusi jaringan Raimi Mohd Nor yang memanfaatkan hantaran Sanna Nyassi pada minit ke-51, sebelum pemain import dari Nigeria, Akanni Sunday Wasiu menyelamatkan maruah skuad Penyu menerusi gol penyamaan hasil sepakan penalti pada minit ke-90. - Bernama