KELIBAT Jose Mourinho menyaksikan perlawanan persahabatan antara Rusia menentang Australia pada Rabu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat bola sepak dunia. Kamera TV dan penyokong yang hadir sempat merakamkan gelagat pengurus Manchester United itu yang dilihat terhibur menyaksikan perlawanan di Stadium Tivoli-Neu itu. Rusia selaku tuan rumah Piala Dunia sedang mempersiapkan diri untuk kejohanan berprestij dunia itu dan kehadiran Mourinho dilaporkan ada kena mengena dengan penyerang Austria dan West Ham, Marko Arnautovic. United dikaitkan dengan Arnautovic baru-baru ini dan West Ham meletakkan harga sebanyak 50 juta pound sterling terhadap pemain itu. Arnautovic mewakili Australia pada aksi Piala Dunia dan Mourinho sedang meneliti kebolehan sebenar pemain itu. Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan 11 gol pada kempen 2017-2018 bersama West Ham. West Ham tidak tertekan untuk menjual Arnautovic yang masih mempunyai baki kontrak selama empat tahun. Mourinho dilaporkan mahu mencari penyerang versatil bagi memantapkan skuad Red Devils musim depan.