KEJOHANAN Piala Dunia akan membuka tirainya tidak lama lagi. Sudah tentu tumpuan akan diberikan kepada pemain terkemuka dunia seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.
Namun begitu, Mirror Sport menyenaraikan beberapa pemain muda yang dijangka menyinar pada temasya empat tahun sekali itu.
1. Cristian Pavon
Negara: Argentina
Kelab: Boca Juniors
Umur: 22 tahun
Pemain sayap muda ini adalah satu daripada tiga pemain yang berpangkalan di Rusia dan dimasukkan dalam senarai skuad kebangsaan untuk aksi final di Rusia.
Jorge Sampaoli menaruh harapan tertinggi terhadap pemain lincah, tangkas dan mengubah corak permainan untuk finalis 2014.
2. Rodrigo Bentancur
Negara: Uruguay
Kelab: Juventus
Umur: 20 tahun
Bentancur jarang dinamakan dalam skuad kesebelasan utama Juventus sejak berhijrah dari Boca Juniors tetapi mendapat kepercayaan penuh ketika bertemu Barcelona dan Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara.
Disamakan dengan Nemanja Matic kerana saiz fizikal dan kelincahannya di bahagian tengah tetapi keupayaan teknikalnya berjaya menyerlahkan bakat pemain itu.
3. Kylian Mbappe
Negara: Perancis
Kelab: Paris Saint-Germain
Umur: 19 tahun
Cemerlang semasa kejayaan Monaco pada Ligue 1 bagi musim 2016-2017 sebelum menyertai PSG musim panas lalu.
Menjaringkan 47 gol dalam 88 perlawanan di peringkat kelab sejak dua tahun lalu tetapi masih tercari-cari rentak di peringkat antarabangsa.
4. Timo Werner
Negara: Jerman
Kelab: RB Leipzig
Umur: 22 tahun
Muncul penjaring gol terbanyak dalam Bundesliga apabila dia mengetuai musim pertama RB Leipzig yang menakjubkan dalam liga utama Jerman di mana mereka menamatkan kempen sulung di tempat kedua di belakang Bayern Munich.
5. Hirving Lozano
Negara: Mexico
Kelab: PSV Eindhoven
Umur: 22 tahun
Menjaringkan 19 gol dalam semua perlawanan pada musim pertamanya ketika PSV menjulang trofi Liga Belanda. Seorang yang lincah ketika di atas padang dan memainkan peranan besar dalam memacu Mexico melepasi peringkat kumpulan buat tujuh kali berturut-turut.
6. Ousmane Dembele
Negara: Perancis
Kelab: Barcelona
Umur: 21 tahun
Pemain Perancis kedua dalam senarai, Dembele dalam proses untuk menyinar kembali selepas jarang diturunkan bersama Barcelona kerana dibelenggu masalah kecederaan.
Menyertai Barcelona sebagai pengganti Neymar pada Ogos lalu tetapi bergelut dengan kecederaan paha sehingga terpaksa direhatkan selama empat bulan.
7. Sergej Milinkovic-Savic
Negara: Serbia
Kelab: Lazio
Umur: 23 tahun
Menyertai Lazio dari Genk pada 2015, pemain tengah serba boleh dan mencipta rekod cemerlang pada musim 2017-2018. Menjaringkan 15 gol ketika skuad kendalian Simone Inzaghi terlepas slot ke pentas Liga Juara-Juara.
8. Trent Alexander-Arnold
Nama: England
Kelab: Liverpool
Umur: 19 tahun
Pemain muda Liverpool itu diserapkan dalam skuad utama dan menggantikan posisi Nathaniel Clyne yang mengalami kecederaan panjang. Melakukan 33 penampilan termasuk 12 dalam aksi Liga Juara-Juara.