BEKAS kapten Red Star Belgrade yang menghabiskan lima tahun di Liga Perdana ketika bersama Tottenham meninggal dunia selepas mengalami aneurisme. Aneurisme adalah sejenis penyakit yang membuatkan dinding arteri lemah dan membengkak. Bekas kelabnya Red Star Belgrade yang mengesahkan berita itu berkata Goran Bunjevcevic meninggal dunia pada usia 45 tahun. Bunjevcevic mengetuai kelab tersebut dan kemudian dilantik menjadi pengarah bola sepak sebelum beralih jawatan ke Persatuan Bola Sepak Serbia. Bunjevcevic meninggal dunia akibat penyakit aneurisme. "Goran bertarung selama lebih sebulan selepas mengalami aneurisme pada 20 Mei tahun ini, tetapi pada hari ini dia telah tewas melawan penyakit ini," kata Red Star dalam satu kenyataan. Bunjevcevic bermain untuk Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris antara 2001 dan 2006 sebelum menamatkan kerjayanya di Belanda bersama ADO Den Haag. "Kami amat sedih mendengar pemergian bekas pemain kami Goran Bunjevcevic. "Doa daripada semua orang di kelab ditujukan kepada kawan-kawan dan keluarganya pada masa yang sangat sukar ini," kata kenyataan Tottenham. - Goal