PEP GUARDIOLA ialah antara pengurus pasukan yang menerima bayaran tertinggi di dunia dan bila sebut tentang koleksi jam tangan, jurulatih itu nampaknya tidak berkira tentang harga. Pengurus Manchester City itu memang dikenali dengan citarasanya dalam bergaya, jam tangan adalah satu daripada kegemaran jurulatih kelahiran Sepanyol itu. Memetik laporan Manchester Evening News, koleksi jam tangan Guardiola bernilai puluhan ribu pound sterling. Dia kerap dilihat menggayakan jam tangan mewah berlainan rekaan. Jurulatih itu juga dilihat memakai jam tangan koleksi terhad Cimier QNETCity ketika berada di pusat latihan kelab itu. Pengurus berusia 45 tahun itu kerap memakai jam jenama Rolex Deep Sea Dweller yang dianggarkan bernilai sekitar £9,000 (RM48,000). Sebuah lagi jam kegemarannya adalah IWC Big Pilot yang turut dianggarkan sama nilai dengan jam Rolex berkenaan. Ketika dia memimpin Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara buat kali kedua, Guardiola memakai koleksi terhad Chopard Mille Miglia GT XL berwarna hitam bernilai RM31,000. Hanya terdapat 1,000 utas jam itu di dunia dan sebuah lagi jam yang pernah dipakainya adalah Cartier Santos 100 dalam warna ros emas.