PETALING JAYA: Dua pasukan bola sepak negara Timur Tengah sudah menyatakan keinginan untuk mengadakan aksi persahabatan menentang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menjelang temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Ogos ini. Ketua Jurulatih B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata Arab Saudi dan Bahrain adalah dua pasukan yang berminat menguji kekuatan berdepan skuad negara. Bagaimanapun, perlawanan yang dijangka diadakan pada 8 atau 9 Ogos itu nanti hanya akan diputuskan selepas sesi pengundian pasukan yang akan dijalankan pada minggu ini. “Kita ada dua pasukan - Bahrain dan Arab Saudi yang ingin bermain dengan kita di Kuala Lumpur tetapi harus tunggu sehingga undian dilakukan pada minggu ini. Ia kerana kita mahu melihat apakah kedudukan kita di peringkat kumpulan terlebih dahulu selepas sesi undian tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi pertama latihan pusat skuad B-23 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, di sini Ahad. Sementara itu, Kim Swee berkata persefahaman dan corak permainan berbeza adalah elemen utama yang diharapkan daripada 13 muka baharu yang dipanggil ke dalam senarai 27 pemain pada sesi latihan pusat kali ini. “Mereka harus tahu apabila mereka bersama dengan pasukan pada sesi latihan akan datang awal Ogos nanti, saya mahu mereka faham apa yang pasukan ingin lakukan dari bukan sahaja dari segi taktikal, malah di luar padang,” katanya. Dalam pada itu, skuad B-23 yang melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China pada Januari lepas akan bertemu Felda United di Padang Wisma FAM Jumaat ini. - Bernama