suria

Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur tewas kepada Tontowi-Liliyana

JAKARTA: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa akur dengan kehebatan pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir apabila tewas dalam aksi final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2018 di sini, Ahad.

Pada perlawanan di Istora Senayan di sini, pasangan Indonesia itu hanya memerlukan masa 38 minit untuk mempertahankan kejuaraan apabila menjinakkan gandingan negara 21-17, 21-8, yang jejas gagal menyaingi kepantasan, ketepatan dan aksi bertenaga gandingan nombor tiga dunia itu.

Kejayaan tersebut sekali gus melebarkan rekod kemenangan Tontowi-Liliyana ke atas Peng Soon-Liu Ying kepada 10-1 sepanjang 11 pertemuan dalam karier mereka.

Kali terakhir mereka bertemu ialah pada final temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro di mana pasangan Indonesia itu dengan mudah mengalahkan Peng Soon-Liu Ying 21-14, 21-12.

Beregu campuran negara itu adalah satu-satunya wakil Malaysia yang layak ke final, selepas jaguh perseorangan  negara Datuk Lee Chong Wei gagal memburu gelaran ketujuh pada kejohanan bernilai US$1.21 juta (RM4.84 juta) itu.

Chong Wei terkandas  di saingan separuh akhir semalam apabila tumpas di tangan pemain muda dari Jepun, Kento Momota dengan straight set 23-21, 21-12.

Tontowi (kanan) dan Liliyana (kiri). - AFP

Dalam pada itu, Kento merangkul kejuaraan kedua dalam acara perseorangan lelaki apabila menumpaskan bintang Denmark dan pilihan utama, Viktor Axelsen, 21-14, 21-9 dalam masa 37 minit.

Sebelum ini, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan satu lagi beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tumpas di pusingan pertama, manakala beregu wanita negara, Vivian Ho-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, gagal melepasi pusingan kedua.

Peng Soon, ketika ditemui berkata beregu Indonesia itu beraksi amat cemerlang, manakala mereka pula kerap melakukan kesilapan.

Sementara  itu, Liu Ying berkata:"Sorakan di Stadium Istora Senayan amat gemuruh sehinggakan suara kami untuk berbincang di gelanggang pun tak dapat dengar.-

"(Sorakan di Istora Senayan) memberi tekanan yang amat tinggi juga (kepada kami)," kata Liu Ying.

Dalam pada itu, Tontowi berkata mereka juga berasa tekanan dengan sorakan dan teriakan gemuruh penonton di Istora Senayan, namun dapat mengawal keadaan dalam gelanggang.

Liliyana  pula berkata kemungkinan penampilannya pada  kejohanan tersebut adalah terakhir bagi dirinya namun tumpuannya adalah pingat emas Sukan Asia 2018 di gelanggang sendiri, Ogos ini.  

Keputusan Perlawanan Akhir:  Perseorangan Lelaki: Kento  Momota (JPN) mn Viktor Axelsen (DEN) 21-14, 21-9   Perseorangan Wanita: Tai Tzu Ying (TPE) mn Chen Yufei (CHN) 21-23, 21-15, 21-9   Beregu Lelaki: Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo (INA) mn Takuto Inoue-Yuki Kaneko (JPN) 21-13, 21-16   Beregu Wanita: Yuki  Fukushima-Sayaka Hirota (JPN) mn Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (JPN) 21-14, 16-21, 21-14   Beregu Campuran: Tontowi  Ahmad-Liliyana Natsir (INA) mn Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (MAS) 21-17, 21-8.

Artikel Lain