suria

Tok Gajah ada misi lebih penting, tangguh dulu sambut kemenangan Piala FA

KUANTAN: Acara sambutan meraikan kejayaan skuad Tok Gajah menjulang Piala FA 2018 setelah menumpaskan Selangor 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu, terpaksa ditangguhkan sementara berikutan pasukan itu kini memberi fokus terhadap saingan Liga Super pada Rabu dan Sabtu ini.

Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata tumpuan itu penting bagi membolehkan pasukan berkenaan memperbaiki kedudukan carta liga sekali gus layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia.

"Trofi Piala  FA itu akan dibawa pulang hari ini, tetapi acara sambutan bersama peminat terpaksa ditangguhkan sementara kerana kita kini menumpukan kepada perlawanan Liga Super minggu depan.

"Perancangan bagaimana sambutan dilakukan, masih belum ditetapkan dan perbincangan untuk tujuan itu akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Mohammed Suffian berkata pihak pengurusan pasukan juga akan berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk berbincang berhubung imbuhan yang akan diberikan susulan kejayaan tersebut.

Pemain Pahang Muhd Nor Azam Abdul Azih (kanan) meraikan jaringannya dengan rakan sepasukan. - Bernama

"Setakat ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah menyatakan kesediaan untuk memberi sedikit imbuhan, begitu juga dengan pihak persatuan juga berhasrat berbuat demikian. Namun hal ini perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan Tengku Abdul Rahman,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Suffian berkata kejayaan semalam diharap menjadi titik tolak kepada kebangkitan pasukan untuk menjuarai lebih banyak piala pada musim ini, termasuk Piala Malaysia.

"Ia hasil kerjasama mantap antara pihak pengurusan, barisan pemain dan penyokong yang memiliki impian sama untuk melihat skuad Tok Gajah kembali unggul sekali gus mengubat kekecewaan setelah gagal pada saingan akhir Piala FA 2017 apabila tewas kepada Kedah.

"Ia satu kebangkitan yang baik buat pasukan, membolehkan kita meletakkan cita-cita lebih besar pada masa hadapan," katanya.

Kali terakhir skuad Tok Gajah menang Piala FA ialah pada 2014 bersama-sama Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia.


Piala FA, Tok Gajah

Artikel Lain