KUALA LUMPUR: Tiada kem latihan pusat bagi kontinjen Malaysia sebagai persiapan ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini. Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata keputusan itu dibuat berikutan ramai atlet negara kini sedang mengikuti latihan di luar negara. "Tiada kem latihan pusat dibuat kali ini memandangkan ramai atlet sedang menjalani latihan di luar negara dan kebanyakan mereka akan terus ke Indonesia. "Namun, satu majlis (penyerahan Jalur Gemilang) bersama kontinjen negara dan kursus motivasi untuk atlet akan dilaksanakan sebelum mereka berlepas ke Jakarta-Palembang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa persatuan sukan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, di sini, Isnin. Dalam pada itu, Abdul Azim berkata persiapan tuan rumah berjalan lancar dan beliau yakin Indonesia sudah bersedia menyambut ketibaan kontinjen bertanding. Ditanya berhubung sasaran pingat, beliau berkata pihaknya belum menetapkan sebarang sasaran bagi kontinjen negara ke temasya sukan itu. "Kita akan adakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneliti dan menyemak prestasi atlet dalam pertandingan terdahulu. "Selepas penelitian berkenaan, barulah kita menetapkan sasaran pingat bagi setiap sukan yang dijangka akan dimuktamadkan pada 30 Julai ini." katanya. Sukan Asia 2018 akan berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.- Bernama