JUVENTUS semakin hampir untuk memuktamadkan rundingan membawa masuk Cristiano Ronaldo dari Real Madrid, kata sumber Sky Sports. Difahamkan perkembangan positif mengenai perpindahan itu akan diketahui dalam tempoh 48 jam lagi dengan Real dijangka membuat keputusan final mengenai tawaran Juve. Kelab gergasi Itali itu berusaha keras untuk merealisasikan perpindahan tertinggi dalam sejarah Juve terhadap Ronaldo bernilai 88 juta pound sterling. Ronaldo sedia meninggalkan Real selepas sembilan tahun berada di Santiago Bernabeu. Bekas pemain Manchester United itu turut muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Real dengan 450 gol. Dia turut memenangi dua trofi La Liga, dua Copa del Rey dan empat Liga Juara-Juara bersama kelab gergasi Sepanyol itu. Menurut Sky Sports, rundingan sedang giat dilakukan antara Juventus, Real Madrid dan juga ejen Ronaldo, Jorge Mendes. Terdahulu, Mendes menegaskan Ronaldo amat berterima kasih kepada Real sekiranya dia memutuskan untuk meninggalkan kelab itu pada musim panas ini. "Jika ia berlaku, ia akan menjadi permulaan baharu, satu cabaran baharu dalam kerjaya cemerlangnya. "Jika Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid, dia akan berterima kasih kepada kelab, presiden, semua pengarah, kakitangan perubatan, semua kakitangan tanpa pengecualian serta semua peminat Real di seluruh dunia," kata Mendes.