EMRE Can mendedahkan punca dia meninggalkan Liverpool dan setuju dengan tawaran kelab gergasi Itali, Juventus. Can berkata peluang untuk memenangi lebih banyak trofi bersama Juventus merupakan peluang yang sukar ditolaknya. Bintang kebangsaan Jerman itu berhijrah ke Juventus dengan menandatangani kontrak empat tahun selepas kontraknya berakhir di Anfield. Semasa bersama Liverpool Can melakukan 167 penampilan tetapi tidak diturunkan dua bulan pada kempen musim lalu akibat kecederaan belakang. Dia kembali memperkuat Liverpool ketika bertemu Real Madrid di Kiev tetapi pasukan itu tewas 1-3 pada aksi final Liga Juara-Juara. "Saya menerima banyak tawaran daripada pasukan hebat. Saya buat keputusan untuk datang ke Juventus kerana saya fikir projek di sini amat besar. "Mereka mempunyai cita-cita tinggi. Saya mahu menjadi sebahagian daripada projek di sini. "Saya amat gembira berada di sini. Saya tahu corak permainan Juventus, saya menyaksikan banyak perlawanan mereka musim lalu. "Salah seorang idola saya, Zidane juga pernah beraksi di sini," kata Can. Can turut menyasarkan untuk memenangi trofi Serie A bersama kelab baharunya itu. "Saya mahu memenangi trofi Serie A kemudian Liga Juara-Juara. Itu sasaran utama kami. Saya datang ke sini untuk membantu pasukan," katanya. Can dijangka menyertai Cristiano Ronaldo di Stadium Juventus dengan Real setuju melepaskannya dengan bidaan bernilai 88 juta pound sterling dari Santiago Bernabeu.