PENGELUAR kereta Itali, Fiat dilaporkan bersetuju membiayai perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus. Marca melaporkan Juve tidak mampu mendapatkan khidmat Ronaldo tanpa campur tangan Fiat. Malah El Chiringuito pada minggu lalu melaporkan tawaran terhadap Ronaldo melibatkan kos sehingga 400 juta euro termasuk yuran perpindahan dan gaji selain bayaran tambahan 10 juta euro kepada ejennya, Jorge Mendes. Bekas rakan pasukan Ronaldo semasa bersama Manchester United, Patrice Evra menasihati bintang Real Madrid itu supaya mengikut jejak langkahnya berhijrah ke Turin. Evra pernah beraksi bersama Juventus antara 2014 hingga 2017. "Saya belum bercakap dengan Ronaldo mengenai perkara ini tetapi nasihat saya, jika dia mahu beraksi sehingga 2050, dia perlu sertai Juve. "Tiada kelab lain dia perlu sertai. Ia mudah," katanya.