KOTA BHARU: Penolong jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mengingatkan pemainnya supaya mengelak melakukan kesilapan mudah ketika bertemu Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu. Beliau berkata kesilapan seumpama itu akan menghukum pasukan tersebut dalam usaha memperoleh mata penuh. "Perlawanan malam esok antara perlawanan terpenting kami dalam baki lima perlawanan liga bagi memperoleh mata untuk mengelak pasukan tersingkir ke Liga Premier musim depan," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Bagi baki lima perlawanan berkenaan menentang Selangor, Johor Darul Ta'zim, Melaka United, Terengganu dan Pahang, pasukan Kelantan memerlukan kemenangan untuk mengelak penyingkiran ke Liga Premier 2019. Jurulatih kelahiran Perlis itu berkata pertemuan itu cukup kritikal kepada pasukannya walaupun bermain di tempat sendiri. "Kita selalu ditewaskan pada perlawanan sebelum ini disebabkan kecuaian dan kesilapan mudah pemain dan perkara itu tidak seharusnya berlaku kali ini. "Tidak semua jurulatih inginkan permainan yang sempurna, tetapi dalam situasi kritikal ini cukup hanya kemenangan walaupun tidak menguasai keseluruhan perlawanan," katanya. Beliau berkata bertemu Selangor, pasukannya perlu melihat kepelbagaian dalam perlawanan tersebut sama ada aspek kecergasan, disiplin dan corak permainan. "Harapan tinggi saya supaya pasukan menggunakan kesempatan beraksi di halaman sendiri bagi memperoleh tiga mata penting...penyerang harus menyudahkan peluang menjaringkan gol, pemain tengah perlu cipta banyak gerakan dan pertahanan mesti lakukan kerja-kerja bertahan. "Jika dilihat, Selangor adalah pasukan yang bijak menggunakan peluang atas kesilapan dan kelalaian pemain lawan sendiri. Oleh itu pemain yang diturunkan harus memberi komitmen sepenuhnya," katanya. Ketika ini, Kelantan berada di kedudukan ke-12 dengan 11 mata hasil tiga kemenangan, dua seri dan 12 kekalahan.- Bernama