EDEN Hazard seolah-olah mengesahkan pada malam Sabtu bahawa dia berhasrat untuk meninggalkan Chelsea pada musim panas ini. Penyerang sensasi itu meledakkan gol untuk Belgium ketika menundukkan England 2-0 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Dunia, malam Sabtu. Sejurus selepas kemenangan itu, Hazard membuat pengumuman mengejut mengenai masa depannya di Stamford Bridge. Hazard yang dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Barcelona turut menolak tawaran baharu Chelsea. Chelsea berusaha untuk memujuk Hazard kekal bersama pasukan itu tetapi pemain tersebut dilaporkan sudah tawar hati. "Selepas enam tahun bersama Chelsea, ia mungkin tiba masanya untuk saya meneroka sesuatu yang baharu. "Sudah tentu selepas Piala Dunia. Saya boleh memutuskan sama ada mahu kekal atau pergi tetapi Chelsea akan membuat keputusan muktamad - jika mereka mahu lepaskan saya. Anda tahu destinasi pilihan saya," katanya. Real dilaporkan menjadi pilihan utama Hazard dan dia turut memberitahu rakan-rakannya mengenai hasrat untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol itu. Hazard memenangi dua trofi Liga Perdana Inggeris dalam tempoh enam musim bersama Chelsea. Pemain kebangsaan Belgium itu menjaringkan tiga gol dan mencipta dua peluang gol pada kejohanan empat tahun sekali itu. Chelsea mungkin menuntut bayaran perpindahan yang tinggi terhadap Hazard tetapi pemain berusia 27 tahun itu menegaskan dia tidak akan mendesak The Blues untuk berbuat demikian. Pada masa sama, Hazard memberi gambaran bahawa dia bersedia untuk bekerjasama di bawah pengurus baharu, Maurizio Sarri. "Kita tahu Sarri akan menjadi pengurus baharu. Adakah dia pengurus yang bagus? "Jika dia benarkan saya menang trofi, ya. Dries Mertens beritahu saya dia jurulatih yang bagus. Kita perlu bekerja keras mengikut cara Itali. Namun kami sudah biasa dengan cara itu semasa bersama Antonio Conte," katanya.