suria

Hazard hampir ke Madrid?

EDEN Hazard sudah mencapai persetujuan secara lisan dengan Real Madrid, lapor media di Perancis.

Selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama Belgium pada kempen Piala Dunia 2018, masa depan pemain berusia 27 tahun itu di Stamford Bridge masih menjadi teka-teki.

Susulan kemenangan ke atas England dalam aksi penentuan tempat ketiga temasya empat tahun sekali itu, Hazard memberi gambaran bahawa dia sedia meninggalkan Chelsea.

"Selepas enam tahun menakjubkan di Chelsea sudah tiba masanya untuk meneroka sesuatu yang baharu.

"Sudah tentu selepas Piala Dunia ini. Saya akan memutuskan jika saya mahu kekal atau pergi tetapi Chelsea akan buat keputusan akhir - jika mereka mahu melepaskan saya. Anda tahu destinasi pilihan saya," kata Hazard.

Menurut RMC Sport, Real Madrid turut berminat untuk mendapatkan khidmat Hazard pada musim panas ini.

Dan laporan itu mendakwa Hazard sudah mencapai persetujuan secara lisan dengan pihak pengurusan kelab gergasi Sepanyol itu.

Real bagaimanapun belum mencapai kata putus berhubung bidaan Hazard dengan Chelsea.

Hazard masih mempunyai baki kontrak selama dua musim di Stamford Bridge tetapi nilainya akan menurun secara drastik jika dia gagal menandatangani kontrak baharu bersama The Blues.

Minggu lalu, laporan mendakwa Chelsea menuntut bidaan sekurang-kurangnya 200 juta pound sterling dari Real.

Malah pada Selasa, RMC Sport turut melaporkan Chelsea dan Real sudah bersetuju bidaan 31 juta pound sterling untuk Thibaut Courtois.

Penjaga gol Belgium itu akan menandatangani kontrak selama empat tahun dengan juara Liga Juara-Juara tersebut.

Eden Hazard, Real Madrid

Artikel Sebelum

Sarri kongsi rancangan

Artikel Berikut

Pogba mahu bersama Ronaldo

Artikel Lain