suria

Atlet menembak dakwa ISN kebal

Dari kiri: Muslifah, Mohd Azlan, SitiHadijah Ahmad (peguam) dan Nur Ayuni pada sidang media, Rabu.

KUALA LUMPUR: Tiga atlet menembak negara berharap ‘suara’ mereka didengari Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Muslifah Zulkifli dan Nur Suryani Taibi yang digugurkan daripada Program Podium tahun lalu kecewa apabila samannya terhadap Institut Sukan Negara (ISN) Oktober 2017 ditolak Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

“Kes kami telah diketepikan oleh mahkamah. Kami menerima surat penolakan saman Jumaat lalu (6 Julai)  dan dalam tempoh itu kami sedia untuk membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan. 

“Pihak ISN menggunakan Akta ISN Seksyen 44 (Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap institut, anggota institut atau jawatankuasa, atau pegawai, pekerja atau ejen institut atau orang lain yang bertindak dengan sah. 

“Ia bermakna kami tidak boleh menyaman ISN berdasarkan Seksyen 44 itu.

“Kes ditolak tanpa didengari terlebih dahulu.

“Bagaimanapun kami akan menggunakan Seksyen 3 (2) di mana institut adalah kekal turut-temurun, boleh membawa guaman, dibawa guaman terhadapnya dan mereka perlu buktikan adanya 'good faith' (niat suci),” jelas wakil peguam Mohd Azlan Mashod.

Jelas Muslifah, tindakan menerusi proses rayuan bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi mendapatkan hak sebagai atlet.

“Tujuan kami bukan untuk menang atau apa, tetapi berharap suara kami di dengar. Kami digugurkan tanpa sebarang alasan kukuh.

“Kes seperti ini kali pertama berlaku dan ia juga sebagai suara atlet yang tertindas.

“Kami mahu kes ini diadili seadil-adilnya,” ujar Muslifah pada sidang media di Café Seri Bayu, Bukit Jalil Golf Club pada Rabu.

Dalam pada itu, Muslifah berharap mereka bertiga dapat bertemu dengan Syed Saddiq.

“Kami berharap menteri baharu ini dapat mendengar suara-suara atlet seperti kami.

“Sebelum ini kami cuba berjumpa dengan Khairy Jamaluddin (menteri terdahulu) namun ditolak.

“Kami hanya mahu bersih nama. Sejak digugurkan karier kami sudah berakhir biarpun minat masih menebal untuk terus berkhidmat buat negara,” jelasnya.

Sebagai rekod, ketiga-tiga atlet itu digugurkan daripada Program Podium tanpa alasan kukuh.

Ia berlarutan apabila Nur Ayuni  dan Muslifah disingkirkan daripada skuad menembak bagi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Manakala Nur Suryani masih berada dalam skuad kebangsaan ketika ini.

menembak, saman, ISN

Artikel Sebelum

"Saya takkan lari..."

Artikel Berikut

Sarri kongsi rancangan

Artikel Lain