MARAN: Pasukan Felda United menyasar mara lebih jauh pada saingan Piala Malaysia selepas dinobatkan juara Liga Premier 2018 pada Sabtu. Ketua Jurulatihnya B. Satiananthan berkata beliau optimis dengan keupayaan anak buahnya berdasarkan persembahan mereka sepanjang musim ini. "Saya memang gembira dengan persembahan para pemain secara keseluruhan walaupun aksi malam ini kita banyak buat silap dan gagal memanfaatkan peluang yang ada untuk menang. "Saya berharap mereka dapat memperbaiki corak permainan dan tidak melakukan kesilapan sama pada saingan Piala Malaysia kelak kerana fokus sepenuhnya perlu diberikan pada setiap perlawanan. "Keutamaan adalah melayakkan diri di peringkat kumpulan sebelum melihat sejauh mana pasukan boleh pergi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak di sini. Perlawanan Liga Premier itu berkesudahan dengan Felda United terikat 2-2 dengan PDRM.Selepas 19 perlawanan, Felda United mengumpul 42 mata dan bakal melengkapkan jadual Liga Perdana dengan menentang pasukan Pulau Pinang di tempat lawan pada 27 Julai ini. Sathianathan berkata beliau gembira kerana dapat menggunakan kembali khidmat beberapa pemain utama yang menghadapi kecederaan dan keletihan sebelum ini termasuk pemain sayap Ahmad Syamim Yahya. "Kita dapat lihat Syamim kurang cergas malam ini kerana sudah lima bulan tidak beraksi, namun saya yakin prestasinya akan kembali semula menjelang Piala Malaysia. "Saya juga berkesempatan merehatkan Shukor Adan yang telah bermain tanpa henti bagi 20 perlawanan termasuk Piala FA sebelum diturunkan pada separuh masa kedua," katanya. Sementara itu, kapten pasukan The Fighters, Shukor Adan menyifatkan kejayaan menjadi juara Liga Premier sebagai lonjakan motivasi pasukan untuk beraksi lebih cemerlang pada perlawanan seterusnya. "Saya memuji rakan pasukan yang berjuang dengan bersungguh-sungguh. Ada dalam kalangan pemain belum pernah menjuarai apa-apa piala, dan saya melihat ini sebagai suntikan semangat kepada mereka termasuk memenuhi sasaran layak ke perlawanan akhir pada saingan Piala Malaysia," katanya.-Bernama