PETALING JAYA: Selepas dikecam hebat susulan insiden bendera Indonesia terbalik, pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) Amirul Ashrafiq Hanifah tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat di negara jiran itu. Amirul ketika ini berada di Indonesia bagi kejohanan Piala AFF B-16. Dia dituduh menghina bendera Indonesia menerusi beberapa laporan media negara jiran itu apabila memuat naik bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya pada Jumaat. "Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia di atas kesilapan saya memuat naik bendera yang salah pada Insta Story saya tempoh hari," katanya. Jelas Amirul lagi, dia sebenarnya tidak berniat untuk mencetuskan sebarang provokasi, sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu kesilapan. "Saya tiada niat langsung untuk melakukan sebarang provokasi. Ia semata-mata kesilapan saya tersalah letak bendera Poland, bukannya bendera Indonesia seperti yang sepatutnya," katanya. Susulan kesilapannya itu, Amirul berharap agar isu tersebut tidak diperbesarkan. "Diharap isu ini tidak terus diperbesarkan dan sekali lagi saya minta maaf," katanya. Posting permohonan maaf dimuatnaik Amirul di Instagram miliknya. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan ringkas di Facebook pada Ahad turut mengharapkan isu itu selesai. "Pemain skuad B-16 kebangsaan, Amirul Ashrafiq Hanifah telah pun meminta maaf di atas kesilapan memuat naik bendera Indonesia yang salah pada Insta Story. "Harap isu ini selesai dan semua kembali fokus untuk Kejuaraan B-16 AFF 2018 di Surabaya bermula Ahad," demikian menurut kenyataan itu. Insiden itu jelas tidak disenangi oleh media Indonesia berikutan isu bendera Indonesia terbalik pernah berlaku ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Malah isu ini turut mencetuskan kebimbangan apatah lagi dengan apa yang berlaku ketika pemain B-19 negara diserang oleh penyokong Indonesia yang membaling batu dan botol selepas aksi separuh akhir Kejohanan AFF juga di Surabaya pada 12 Julai lalu. Pada perlawanan itu skuad kendalian Bojan Hodak menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar sebelum merangkul kejuaraan dengan menewaskan Myanmar 4-3 di pentas final. Susulan insiden itu, skuad B-16 kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib dinasihatkan supaya tidak aktif di media sosial. Dalam kejohanan AFF itu, Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Thailand pada Isnin, diikuti Brunei (3 Ogos), Singapura (5 Ogos) dan Laos (7 Ogos) dengan kesemua aksi di Stadium Joko Samudro, Surabaya, Indonesia.