suria

Sarri lupakan Higuain, puji Morata

MAURIZIO Sarri mungkin melupakan hasratnya untuk mendapatkan khidmat Gonzalo Higuain dan kembali meletakkan kepercayaan terhadap Alvaro Morata selepas pemain itu beraksi cemerlang pada aksi pra musim menentang Inter Milan.

The Blues berlepas ke Nice pada petang Sabtu untuk bertemu dengan kelab gergasi Itali itu dalam perlawanan kedua mereka di bawah Sarri.

Pasukan itu berada di depan menerusi Pedro selepas memanfaatkan hantaran Morata.

Namun, Roberto Gagliardini menyamakan kedudukan selepas rehat memaksa kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti dengan Chelsea menang 5-4 ke atas Inter.

Sejurus tamat perlawanan, Sarri memuji prestasi Morata yang dikaitkan dengan perpindahan ke Itali.

Nampaknya pemain Sepanyol itu berjaya memenangi hati pengurus baharunya itu.

"Saya masih menunggu prestasi terbaik Morata.

"Dalam perlawanan pertama, Morata tidak beraksi dengan baik di Australia.

"Namun malam ini, terutamanya 30 minit pertama, persembahannya meningkat. Saya amat berpuas hati dan yakin dengan masa depannya," kata Sarri.

Morata dikhabarkan akan menyertai AC Milan dengan Eden Hazard diburu Real Madrid tetapi Sarri menegaskan dia hanya berminat terhadap pemain yang mahu kekal bersama Chelsea.

"Kami mahu mengekalkan pemain terbaik kami sekiranya mereka sendiri mahu kekal.

"Kami akan cuba memujuk beberapa pemain tetapi kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Alvaro Morata, Chelsea

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain