PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan Husin Deraman telah meletak jawatan selaku setiausaha agung persatuan itu. Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata beliau sudah menerima surat peletakan jawatan Husin pagi Rabu. "Surat letak jawatan Husin sudah saya terima. Saya akur dengan keputusan tersebut. "Saya ucap terima kasih kepada beliau kerana memberi ruang kepada yang boleh bekerja sepenuh masa dan senang bekerjasama dengan saya," kata Bibi ketika dihubungi mStar Online. Susulan itu, Bibi berkata tugas Husin kini diambil alih Farah Anida Mansor berkuatkuasa serta merta. Farah Anida Mansor. "Dia akan memulakan tugasnya hari ini susulan peletakan jawatan setiausaha agung Kafa," katanya. Farah yang juga pembantu peribadi usahawan batik itu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Bradley, Illinois, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan) dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Bibi berkata Farah Anida merupakan seorang yang mempunyai komitmen tinggi dalam melakukan sesuatu tugas. "Dia amat komited dan saya percaya dia dapat membantu saya sepenuh masa. Lagipun saya sudah mengenalinya sewaktu dia masih menuntut di Amerika Syarikat," katanya. Surat peletakan jawatan Husin tersebar menerusi aplikasi Whatsapp sejak pagi Rabu. Tiga hari lalu, dua Naib Presiden, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim turut meletak jawatan. Bibi meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan dua pemimpin itu kerana merasakan mereka tidak sepatutnya berbuat demikian ketika persatuan berada dalam kesusahan. Beliau turut akur dengan keputusan dua pemimpin tersebut dan berharap tiada lagi peletakan jawatan secara beramai-ramai selepas ini. "Saya ucapkan terima kasih atas sumbangan mereka. Kalau boleh jangan menuding jari ke arah saya apabila kita sendiri yang letak jawatan. Saya harap tiada agenda peletakan jawatan secara berjemaah lagi," katanya.