WILLIAN tidak menghadiri latihan pra musim bersama Chelsea selepas Real Madrid mengemukakan bidaan bernilai 65 juta pound sterling terhadapnya. Pemain berusia 29 tahun itu masih bercuti di Brazil selepas tamat kempen Piala Dunia dan sepatutnya kembali melapor diri pada Jumaat lalu. Namun menurut The Times, Willian gagal berbuat demikian dan menjadikan masalah pasport sebagai alasan ketidakhadirannya. Chelsea telah menolak dua tawaran daripada Barcelona terhadap Willian pada musim panas ini. Madrid ketika ini sedang giat mencari pemain baharu susulan pemergian Cristiano Ronaldo ke Juventus. Pada minggu lalu, Chelsea dilaporkan telah menurunkan harga Willian selepas mengetahui Barcelona memuktamadkan perpindahan Malcom. Pengurus Chelsea Maurizio Sarri menegaskan dia mahu mengekalkan William dan dia yakin pemain Brazil itu akan kekal lebih lama bersama kelab. William tidak menjadi pemain pilihan bekas pengendali Chelsea, Antonio Conte pada musim lalu. Malah Conte turut memadam gambar Willian ketika Chelsea meraikan kemenangan ke atas Manchester United pada perlawanan Piala FA, Mei lalu.