PAUL Pogba bimbang jika dia akan dihukum sekiranya mendedahkan mengenai keadaan hubungan sebenarnya dengan Jose Mourinho ketika ini. Pemain berusia 25 tahun itu mengetuai Manchester United ketika menundukkan Leicester City 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam Jumaat. Pogba hanya kembali berlatih pada Isnin meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona. Dia digugurkan daripada beberapa aksi penting musim lalu dan mengkritik Mourinho sejak hubungan mereka mulai dingin. Namun dia kembali mempamerkan aksi berbisa pada malam Jumaat lalu. 'Terdapat perkara yang saya boleh kata dan ada yang saya tak boleh kongsi... jika tidak saya akan dihukum. "Apabila orang mempercayai anda, kemudian ia akan jadi lebih mudah. "Saya sentiasa memberikan yang terbaik kepada penyokong, rakan pasukan dan orang yang mempercayai saya," katanya. Ketika ditanya mengenai keputusan untuk memberikan tugas kapten kepada Pogba, Mourinho berkata:"Musim lalu dia mengetuai pasukan beberapa kali. "Valencia adalah kapten tetapi dia tidak ada di sini. Paul adalah seorang lagi pilihan, memahami kelab, budaya dan ada hubungan baik dengan rakan pasukan dan menjadi pemain contoh," katanya.