suria

Tewas 2-3, Kim Swee kecewa pemain tak manfaat peluang

Pemain Bahrain, Hamad Alshamsan (kanan) cuba merebut bola daripada pemain negara, Mohamad Faisal Abdul Halim (tengah) dan Mohamad Hadi Fayyadh Abdul Razak (kiri). foto AFP

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara tewas 2-3 kepada Bahrain dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang, Indonesia, malam Isnin.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee mendahului menerusi gol Syahmi Safari pada minit ke-20.

Namun Bahrain berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-33 menerusi jaringan Mohamed Hardan sebelum Hamad Alshamsan meletakkan pasukan lawan didepan empat minit kemudian.

Hardan sekali lagi menjaringkan gol ketiga buat Bahrain ketika perlawanan berbaki seminit.

Pasukan negara kembali merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid yang dijaringkan pada minit ke-93.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada skuad negara yang sudah mengesahkan tempat ke slot kalah mati lebih awal bertemu Jepun, Jumaat ini.

Namun, Kim Swee mengakui anak buahnya gagal mempamerkan corak permainan terbaik mereka.

"Saya melakukan lapan pertukaran pemain, jadi amat sukar bagi kita untuk menewaskan Bahrain.

"Ia bukan keputusan bagus, sudah tentu saya kecewa dengan beberapa pemain yang diberikan peluang untuk bermain tetapi tidak memanfaatkan peluang tersebut dengan baik," katanya.

Pada masa sama, Kim Swee meluahkan rasa bimbang dengan kelemahan jentera serangan yang melanda skuad negara.

"Ia tidak seperti yang kita harapkan. Kita tiada masa jadi setiap pemain harus memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Jadi pemain kena faham apabila mereka berada di sini, mereka perlu bekerja keras," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan dengan Jepun, Kim Swee mengakui pasukan lawan itu mempunyai banyak kelebihan.

"Kita tahu Jepun pasukan kuat, mereka ada kombinasi yang baik. Ia bukan mudah kerana Jepun adalah sebuah pasukan yang berpengalaman luas di peringkat kebangsaan.

"Jadi kita perlu berada di tahap terbaik untuk memastikan kita menang ke atas mereka," katanya.

Sukan Asia, bola sepak

Artikel Sebelum

Artikel Lain