suria

Dulu Mourinho ada daya tarikan hebat, sekarang membosankan!

BEKAS bintang Manchester United, Lee Sharpe percaya Jose Mourinho akan meninggalkan Old Trafford pada sambutan Hari Krismas yang akan datang.

United bergelut dengan prestasi tidak menentu pada awal musim selepas tewas 2-3 di tangan Brighton, malam Ahad.

Malah kapten United, Paul Pogba mengakui rakan pasukannya seolah-olah kurang bersemangat untuk menang.

Kekalahan itu hadir selepas Mourinho kecewa dengan kegagalan lembaga pengarah United membeli beberapa pemain yang menjadi buruannya pada jendela perpindahan yang sudah ditutup.

Lebih parah, hubungan Mourinho dengan Pogba kembali tegang baru-baru ini.

Malah pengendali dari Portugal itu turut bertengkar dengan Anthony Martial.

"Mourinho adalah lelaki yang tak layak untuk jawatan itu.

"Apabila dia datang ke Chelsea buat pertama kalinya dia mempunyai daya tarikan hebat dan suka berjenaka, tapi kini dia amat membosankan.

"Dia mengeluh kerana tiada pemain baharu dan tidak membawa masuk pemain dikehendakinya.

"Stail negatifnya tidak sesuai dengan bola sepak mewah yang dimahukan penyokong United. Saya fikir dia akan angkat kaki sebelum Krismas," katanya.

Sharpe pernah memperkuat United semasa dibawah kendalian Sir Alex Ferguson antara 1988 dan 1996 dengan memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tiga kali dan Piala FA, dua kali.

Bukan itu sahaja, Sharpe berpendapat Mourinho mencetuskan banyak masalah dengan cara pengurusannya yang kasar.

"Saya tidak fikir Mourinho menangani situasi Pogba dengan baik.

"Ia sama dengan situasi Luke Shaw sebelum ini. Sebarang komen sepatutnya tidak perlu dibuat kepada media," katanya.

Jose Mourinho, Manchester United

Artikel Berikut

Artikel Lain