PENGURUS Chelsea, Maurizio Sarri bercadang ingin berhenti merokok selepas menyaksikan kelabnya mencatat kemenangan kedua dalam Liga Perdana Inggeris. Sarri seperti ingin merokok ketika babak separuh kedua selepas Arsenal merapatkan jurang dua gol sebelum mencatat kemenangan 3-2. Pengurus kelahiran Itali berusia 59 tahun itu merupakan seorang perokok tegar, namun terpaksa menahan 'giannya' ketika berada di padang. Selepas perlawanan, Sarri memberitahu dia akan merancang untuk berhenti merokok. "Saya akan berhenti. Hanya untuk satu atau dua tahun, dan saya akan mula (hisap) balik," ujarnya bergurau menjawab pertanyaan media mengenai tabiatnya itu. Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Sarri memberitahu dia tidak gembira dengan pengakhiran bertemu The Gunners itu. "Saya hanya boleh bercakap selepas itu dan lebih baik begitu. Saya hanya ingat perkara yang baik berbanding daripada yang buruk. "Dalam tempoh 25 minit pertama kami bermain sangat baik. Berkualiti. "Saya fikir ia sesuatu yang normal. Kami mula bekerjasama sejak dua minggu lalu. Sasaran saya kini untuk bermain dalam 90 minit seperti 25 pertama".