PALEMBANG: Trio negara bagi acara antara regu menamatkan kemarau emas selama 24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah Indonesia 2-1, pada final di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang berlangsung pada Selasa. Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan bermula. Set pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) melakukan sedikit kesilapan pada penghujung set yang pantas dimanfaatkan regu Indonesia untuk menang 21-18. Menyedari mereka perlu menang untuk memastikan harapan menggenggam emas terus menyala, trio negara yang pada satu ketika ketinggalan 11-17 memaksa pasukan Indonesia berhempas-pulas untuk bertahan sebelum akhirnya menundukkan mereka dengan catatan 22-20, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan. Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan untuk menundukkan Indonesia 21-11 Malaysia pernah memenangi pingat emas acara terbabit sebanyak dua kali iaitu pada Sukan Asia 1990 di Beijing, China dan edisi 1994 di Hiroshima, Jepun. Kejayaan trio sepak takraw hari ini bermakna kontinjen negara menambah satu lagi pingat emas dalam koleksi menjadikan empat emas setakat ini dan perlu memburu tiga lagi untuk mencukupkan tujuh pingat emas yang menjadi sasaran kontinjen negara pada Sukan Asia ke-18 ini. Sementara itu, ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad bersyukur dengan kejayaan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyiapkan pasukan sebelum datang ke temasya ini. “Saya sendiri menitis air mata apabila melihat kejayaan yang dilakar skuad negara selepas begitu lama Malaysia tidak memenangi pingat emas dalam acara itu. “Dalam perlawanan tadi, saya melihat komitmen pemain berada pada tahap tertinggi, mereka memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan itu.Abdul Talib berkata sekalung penghargaan buat semua rakyat Malaysia yang tidak henti berdoa untuk melihat kejayaan skuad sepak takraw negara. “Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Majlis Sukan Negara dan kepada Institut Sukan Negara yang berganding bahu menaikkan prestasi skuad negara,” katanya.- Bernama