suria

Josiah terkejut digelar pengkhianat, akui belum sedia latih skuad negara

Josiah meraikan kejayaan dengan pasukan Thailand kendaliannya.

PETALING JAYA: Bekas pelumba negara, Josiah Ng terkejut digelar sebagai pengkhianat negara apabila anak didiknya dari Thailand, Jai Angsuthasawit muncul juara acara keirin di Sukan Asia 2018.

Jai yang mendapat sentuhan Josiah sejak awal tahun ini, berjaya menewaskan juara keirin dunia, Azizulhasni Awang yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada acara yang berlangsung Jumaat.

"Sudah tentu saya terkejut dengan gelaran yang diberikan netizen. Saya tiada niat untuk berbuat demikian.

"Sekali lagi saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Josiah, 38, menjelaskan buat masa ini beliau masih belum bersedia untuk melatih skuad berbasikal negara kerana masih baharu lagi dalam bidang kejurulatihan.

"Saya hanyalah jurulatih rookie dengan tiada apa-apa bukti kejayaan sebelum ini.

"Jadi bagaimana saya mahu melatih skuad negara dengan pengalaman 'kecil' yang saya ada?.

Josiah terkejut didakwa sebagai pengkhianat oleh netizen.

"Anda jangan harapkan majlis sukan kita akan mengambil saya ketika saya belum membuktikan sebarang kejayaan sebagai jurulatih," katanya.

Pada sama sama, Josiah berkata beliau hanya akan mempertimbangkan tawaran untuk mengemudi skuad berbasikal negara jika sudah benar-benar bersedia.

"Jika semua objektif diselaraskan saya akan pertimbangkan tapi buat masa ini saya belum bersedia.

"Saya perlukan pengalaman dan banyak yang saya perlu belajar sebelum boleh jadi seperti John Beasley.

"Mungkin satu hari nanti saya akan jadi cukup bagus untuk melatih skuad negara. Saya akan berusaha keras," katanya.

Josiah yang juga pelumba Malaysia pertama beraksi pada pusingan akhir acara berbasikal di temasya Sukan Olimpik di Athens berkata, dia amat gembira dengan prestasi luar biasa Jai.

Namun, dia juga gembira kerana Azizulhasni yang juga bekas rakan sepasukannya turut berjaya menaiki podium.

"Saya gembira dengan Jai. Kami berusaha keras untuk kemenangan ini. Saya juga gembira untuk Azizul. Dia memberikan saingan sengit. Emas, perak dan gangsa amat menakjubkan," katanya.

Jai (tengah) menang pingat emas, manakala Azizulhasni di tempat ketiga.

Mengenai rahsia kejayaan Jai, Josiah berkata beliau sering menasihatkan anak didiknya itu supaya sentiasa mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup.

"Saya meminta semua pelumba supaya wujudkan budaya kecemerlangan, mempunyai matlamat yang jelas, menyelaraskan harapan dan bersama-sama melaksanakan sesuatu perancangan," katanya.

Skuad berbasikal trek Thailand merupakan pasukan pertama mendapat sentuhan Josiah yang memulakan kariernya sebagai jurulatih awal tahun ini.

Kemunculan Josiah yang pertama kali meraih pingat perak pada Sukan Asia di Busan, Korea Selatan pada 2002 membuka lembaran baharu sukan berbasikal trek negara.

Selain di Busan, Josiah adalah pemegang pingat perak acara keirin Sukan Asia di Doha, Qatar (2006) dan pingat emas Sukan Komanwel di Delhi (2010).

Josiah juga muncul pelumba pertama bukan dari Australia untuk memenangi kejohanan berbasikal 'Melbourne Cup on Wheels' di HiSense Arena, Melbourne pada 2008.

Josiah Ng, Jai Angsuthasawit

Artikel Lain