PETALING JAYA: Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) tidak mahu terus dibuai mimpi indah selepas menjulang trofi kejohanan AFF B-19 di Indonesia Julai lalu. Selepas dua bulan, skuad kendalian Ketua Jurulatih Bojan Hodak itu kini kembali bersama membuat persiapan menjelang Piala AFC B-19, juga di Indonesia bermula Oktober depan. Skuad muda negara kini berada di Oman berdepan dengan tiga siri perlawanan persabahatan dengan kelab di Timur Tengah itu. Penolong jurulatih, Hairuddin Omar memberitahu, dalam tempoh persiapan ini, beliau tidak terlalu fokus kepada keputusan. "Ya memang betul setiap perlawanan, keputusan juga penting. Tetapi apa yang kita ingin lihat sekarang adalah pendedahan atau penyesuaian diri bertemu dengan pasukan yang intensiti tinggi. "Kita pergi ke Oman kerana mereka mempunyai pemain atau permainan yang coraknya lebih kurang sama dengan Arab Saudi yang bakal kita hadapi pada Piala AFC nanti. "Bagi negara-negara Asean, kita tidak dapat bertemu dengan pasukan yang bermain pantas seperti di Timur Tengah ini," jelasnya kepada mStar Online. Jelas Hairuddin, pendedahan di Oman ini amat berguna kepada pasukan kerana mereka berdepan dengan pemain-pemain senior kelab di Oman. "Pasukan lawan disertai pemain-pemain yang terdiri daripada skuad kebangsaan, Bawah 23 Tahun serta pemain import. "Saya berharap mereka dapat menggunakan peluang ini sebaik mungkin. Malah kami juga turut memberi peluang kepada semua pemain untuk berada di atas padang. "Bagi saya juga pendedahan seperti ini amat penting kepada pemain-pemain muda kita," tambahnya. Sebagai rekod, skuad muda negara tewas 4-0 dalam perlawanan persahabatan pertama bertemu Kelab Suwaiq dan akan meneruskan aksi menentang Kelab Oman pada Khamis (6 Sept) dan Kelab Muscat pada Ahad ini. Selain itu bagi saingan Piala AFC bulan depan, pasukan negara berada dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.