suria

Harimau Malaya mengaum di Phnom Penh

HARIMAU Malaya bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas Kemboja pada aksi di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh, Isnin malam.

Satu gol dari Shahrul Saad (minit 62), Shazwan Andik (m74) dan Shahrel Fikri (m92) sudah cukup memberikan kemenangan bermakna buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Gol saguhati tuan rumah pula dijaringkan Soeuy Visal pada minit ke 13.

Selepas tewas 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Taipei City Jumaat lalu, Cheng Hoe melakukan lima pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rashid, Nasir Basharudin, Syazwan Andik, Khairul Fahmi Che Mat dan Rawilson Batuil yang membuat penampilan pertama.

Memulakan aksi lewat 30 minit sebagaimana yang dijadualkan akibat hujan lebat, anak didik Tan Cheng Hoe dilihat terkial-kial untuk mendapatkan rentak awal khususnya mengawal bola.

Gawang Malaysia diuji seawal minit ke 3 hasil sepakan percuma yang diambil Bin Chanthacheary yang berjaya menewaskan benteng terakhir, Khairul Fahmi Che Mat namun palang menafikan impian kira-kira 40,000 penyokong tuan rumah meraikan jaringan.

Gerakan tersebut nyata tidak memberikan kesan buat pemain Malaysia yang terus melakukan beberapa kesilapan hingga memberikan lawan sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke 20.

Bin Chanthacheary sekali lagi mengambil peranan tersebut namun kali ini sepakannya mencari rakan sepasukan dipenjuru kanan gol Malaysia yang disambut dengan tandukan kedalam kotak penalti sebelum Soeuy Visal melakukan rembatan voli menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke 17.

Jaringan tersebut ternyata mengejutkan Harimau Malaya yang dilihat bangkit memperkemaskan corak permainan sambil mengatur gerakan memburu gol penyamaan namun gagal memecah benteng pertahanan tuan rumah sehinggalah pengadil perlawanan dari Vietnam, Gnuyen Hien Triet meniupkan wisel menandakan tamat perlawanan separuh masa pertama dengan kedudukan Kemboja mengatasi Malaysia, 1-0.

Malaysia yang berada di ranking ke-171 dunia terlepas menyamakan kedudukan pada minit ke-49 selepas sepakan Akhyar melambung tinggi di dalam kotak penalti selepas mendapat bola lintang hantaran Syazwan Zainon.

Menyedari tekanan perlu dilakukan keats tuan rumah ,  Cheng Hoe membuat tiga pertukaran sekali gus dengan memasukkan Shahrel Fikri, Amirul Azhan dan Fazly Mazlan di minit ke-58 dan ia jelas menampakkan hasil.

Shahrel menjadi pencetus kebangkitan apabila mencipta dua bantuan gol buat Shahrul dan Syazwan di minit ke-62 dan 74.

Pemain tersebut yang kini dengan kelab Thailand Nakhon Ratchasima turut meletakkan nama selaku penjaring apabila merembat masuk gol ketiga pada minit ke-92.

Selepas ini, Harimau Malaya akan  beraksi dalam tiga lagi aksi persahabatan  pada 8 November bertemu Sri Lanka di Colombo, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat Melaka (12 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November) sebelum mengharungi Piala AFF.-SinarHarian



Harimau Malaya, Phonm Penh

Artikel Lain