suria

Sukma 2018: Pemanah Pahang pecah rekod acara 90 m compound lelaki

SERI ISKANDAR: Pemanah Muhammad Fahrur Rosi Choiril Anuar (gambar) menceriakan kem Pahang dengan meraih emas pertama dan turut memperbaharui rekod Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 bagi acara memanah 90 meter compound lelaki.

Beraksi dalam keadaan cuaca hujan sebelah pagi di lapang memanah Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, atlet berusia 20 tahun itu tenang melakukan panahan dalam enam pusingan untuk meraih 335 mata, sekaligus mengatasi rekod Sukma 2016 Sarawak milik Wong Co Wan dari Sabah dengan kelebihan lima mata.

Pingat perak menjadi milik Eugenius Lo Foh Soon dari Sabah dengan 331 mata manakala pingat gangsa diraih Mohamad Syafiq Md Ariffin dari Terengganu dengan 330 mata.

Ketika ditemui Bernama, Muhammad Fahrur, atlet mualaf dari Bandar Kuantan itu mengakui ini merupakan penyertaan kejohanan Sukma pertama dan terakhir buat dirinya dan beliau sememangnya telah meletakkan matlamat akan meraih sebarang pingat tanpa mengira warna.

“Ini adalah emas pertama saya dalam penyertaan kali pertama Sukma. Saya berpuas hati dengan pencapaian hari ini namun catatan peribadi terbaik saya adalah 338 mata.

“Pada hari ini, walaupun hujan di sebelah pagi tadi, saya tidak berdepan dengan sebarang tekanan dan hanya perlu fokus sahaja,” katanya.

Kontinjen Pahang terus meraih emas kedua memanah, kali ini menerusi Nur Azlin Azlan dalam acara 70m compound wanita dengan 338 mata manakala pingat perak dan gangsa dimenangi pemanah Johor, Nuraqilah Khairul (335 mata) dan Athirah Awni Mat Yatya dari Terengganu (333 mata).

Sementara itu bagi acara 90 meter recurve lelaki menyaksikan atlet muda berusia 16 tahun dari Selangor Muhammad Khairul Nazim Mohd Yunus merangkul emas biarpun berkongsi mata 283 mata dengan atlet Melaka Muhammad Norhairulnizam Rosdi untuk berpuas hati meraih perak.

Pingat gangsa disambar atlet Negeri Sembilan Izat Halmie Ishak (281 mata).

Keputusan lain menyaksikan atlet memanah tuan rumah Perak, Nurul Fatin Adibah Mohd Zamri muncul juara dalam acara 70m recurve wanita dengan 306 mata manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik atlet Kedah Fatin Izzatie Mohamad Noris (305 mata) dan Nur Ain Ayuni Fozi (294 mata).

Sukma 2018

Artikel Lain