suria

MOM tubuh jawatankuasa ubah SOP pemilihan atlet

Mohamad Norza Zakaria. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan hanya atlet yang benar-benar layak mewakili negara pada temasya sukan antarabangsa, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menubuhkan Jawatankuasa Rebiu Bebas untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) pemilihan atlet.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bekas Timbalan Presiden MOM, Tan Sri Dr M. Jegathesan untuk mencadangkan proses pemilihan baharu ke temasya besar seperti Sukan Olimpik, Asia dan Komanwel.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan turut dianggotai bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Mazlan Ahmad dan Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz serta beberapa personaliti sukan tanah air yang lain.

“Selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini, kita menerima beberapa komen dan kritikan mengenai proses pemilihan. Kita harus memperkasa dan memperketatkan proses tersebut. Apabila siap, ia akan dibawa ke Lembaga Pengarah MOM untuk kelulusan.

“SOP baharu akan diguna pakai oleh saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemilihan. Kita memerlukan jawatankuasa bebas kerana kalau kita buat perubahan tersebut, ia akan nampak biasa, tetapi lebih baik jika kita menerima input daripada pihak lain.

“Sebelum ini apabila kita tetapkan Kategori A (kos dibiayai sepenuhnya) untuk kedudukan empat teratas dan Kategori B (ditanggung sendiri atlet), wujud persoalan apa kelayakan bagi Kategori B,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah MOM kelima di Wisma OCM di sini Selasa.

Papan selaju dan bola baling merupakan antara sukan menerima kritikan berikutan prestasi atlet negara yang tidak setanding dengan atlet lain di benua ini pada Sukan Asia 2018 yang berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept lepas.

Mohamad Norza berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan secepat mungkin dan hasilnya dijangka diguna pakai seawal pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Sementara itu, MOM juga melantik Goh Jin Wei sebagai pembawa Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Remaja berlangsung dari 6 hingga 18 Oktober di Buenos Aires, Argentina, yang akan disertai 20 atlet negara.

MOM juga mahu mencalonkan Mohamad Norza, Setiausaha Agungnya Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Naib Presiden Datuk Paduka Mumtaz Jaafar sebagai wakil dalam Anggota Majlis MSN.

“Kita akan cadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan,” katanya. - BERNAMA

SOP, MOM, atlet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

CEO Arsenal letak jawatan

Artikel Lain