suria

Raja pecut Sukma pintas dua pelari kebangsaan

Muhammad Aqil bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara 100 Meter lelaki pada Sukma Perak ke-19 di Stadium Perak, Selasa. fotoBERNAMA

IPOH: Raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, Muhammad Aqil Yasmin menjadi tumpuan hari kelapan temasya selepas membukti kemampuannya mengenepikan dua pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan dan Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu.

Hanya bergelar atlet negeri, Muhammad Aqil dari Selangor mengungguli acara riben biru dengan catatan 10.39 saat menewaskan Muhammad Haiqal dan Muhammad Zulfiqar yang baru pulang daripada menyertai Sukan Asia di Indonesia dua minggu lalu.

Ratu pecut, Azreen Nabila Alias dari Terengganu turut cemerlang memecahkan rekod SUKMA berusia 10 tahun dengan kelebihan masa 0.01 saat dihadapan rekod lama milik atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad (11.82s).

Turut cemerlang di balapan adalah Muhammad Ilham Suhaimi dari Selangor memadam rekod SUKMA berusia 16 tahun dalam acara 400m lelaki dengan 47.02s mengatasi rekod milik atlet Wilayah Persekutuan, Muhd Zaiful Zainal Abidin (47.34s) pada Sukma 2002 di Sabah.

Di kolam renang menyaksikan atlet pelapis kebangsaan, Goh Chia Tong menamatkan kemarau 18 tahun pingat emas buat kontinjen Melaka menerusi acara 200 meter (m) kuak lentang wanita di Pusat Akuatik Tuanku Zara.

Kali terakhir skuad renang Melaka memenangi pingat emas pada SUKMA 2000 menerusi Abdul Hafiz Salleh menerusi acara 200m kuak dada lelaki.

Sarawak terus menguasai sukan tenpin boling dengan menuai satu lagi pingat emas dalam acara trio lelaki sekali gus mendahului dengan empat pingat emas setakat ini di Ampang Superbowl, Ipoh Parade.

Secara keseluruhan, Terengganu kekal mengungguli carta punggutan pingat dengan 28 pingat emas, 27 pingat perak dan 25 pingat gangsa diikuti Wilayah Persekutuan dengan 28 pingat emas, 22 pingat perak dan 28 pingat gangsa.

Manakala Pulau Pinang dikedudukan ketiga 23 pingat emas, 17 pingat perak, 15 pingat gangsa.

Pemburuan pingat emas diteruskan esok dengan perebutan 49 lagi pingat emas terutama dalam acara olahraga, renang, taekwondo, menembak, angkat berat dan ibu segala pingat bola sepak.

Final bola sepak akan menyaksikan pertembungan pasukan tuan rumah, Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh. - BERNAMA

Sukma, raja pecut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain