IPOH: Pemain kebangsaan Tan Jia Wei dan S. Kisona merangkul pingat emas acara badminton Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang berlangsung di Arena Badminton, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini, Selasa. Turun selaku pilihan kedua, Jia Wei yang mewakili Pulau Pinang, mudah menewaskan pemain bukan pilihan, Aidil Sholeh Ali Sadikin dari Selangor; 21-16 dan 21-19 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki. Sementara Kisona dari Negeri Sembilan menumpaskan pemain tuan rumah, Lee Ying Ying dalam pertarungan sengit tiga set; 25-27, 21-18 dan 21-19 bagi acara perseorangan wanita. Ketika ditemui pemberita, Jia Wei berkata beliau berpuas hati berjaya menyumbang dua pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lelaki pada penampilan terakhirnya pada Sukma kali ini. “Sebelum ini, saya meraih pingat perak di Sukma Sarawak dan kali ini berjaya menebus kekecewaan dan merangkul dua emas untuk negeri saya. Saya tidak menafikan pihak lawan hari ini mempunyai corak taktikal permainan yang bagus. “Beliau juga mengalahkan pemain kebangsaan seperti Leong Jun Hao dan mara sehingga ke final. Pada pendapat saya, pemain-pemain negeri yang bertanding di Sukma ini semua bagus dan memberikan saingan hebat kepada kami (pemain kebangsaan),” katanya kepada pemberita. Pingat gangsa acara perseorangan lelaki dikongsi Yeoh Seng Zoe dari Pulau Pinang dan Faiz Rozain dari Terengganu, manakala pingat gangsa perseorangan wanita menjadi milik Ng Qi Xuan dari Negeri Sembilan dan pemain Perak Eoon Qi Xuan. - BERNAMA