suria

Piala AFC: Dibenam Thailand, misi skuad B-16 kembali sukar

Penyerang negara, Luqman Hakim cuba melepasi benteng pertahanan pemain Thailand pada aksi kedua Kumpulan Piala AFC Bawah 16 tahun pada Ahad. Foto: AFC

KUALA LUMPUR:  Skuad Bawah 16 Tahun  (B-16) Negara gagal melengkap kemenangan kedua, apabila tewas 4-2 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan A Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang Ahad.

Barisan pemain negara gagal mengulangi aksi cemerlang ketika kemenangan ke atas Tajikistan Khamis lalu.

Permulaan aksi barisan pemain muda negara yang kelihatan gementar sekaligus digunakan pemain Thailand untuk menjaringkan gol mudah pada minit kedua oleh penyerang Suphanat Mueanta.

Namun skuad Harimau Muda kembali mencari rentak dan mula menguasai permainan dan gol pernyamaan muncul minit pada ke-12 menerusi penyerang sensasi Luqman Hakim Shamsudin.

Namun, kelalaian barisan pertahanan negara memakan diri sendiri apabila M.Suphanat sekali lagi dengan mudah menjaringkan gol kedua minit ke-22.

Ketinggalan satu gol pada babak pertama tidak mematahkan semangat  anak buah Lim Teong Kim itu untuk bangkit garang menjaringkan gol kedua negara menerusi Muhammad Firdaus Kaironnisam minit ke-48.

Malang buat barisan negara apabil penyerang utama Luqman Hakim dilayangkan kad merah gara-gara dilihat menerjah pemain lawan.

Bermain dengan 10 pemain, mereka dihukum dengan gol ketiga Thailand menerusi Waragon Thongbat minit ke-58.

Pada minit ke-84, pasukan Thailand sekali lagi meraih gol hasil jaringan sendiri pemain negara yang cuba menyelamatkan bola di depan pintu gol.

Seterusnya, beberapa percubaan pemain negara untuk menyamakan kedudukan gagal sehingga wisel penamat.

Skuad kendalian Teong Kim akan melengkapkan perlawanan terakhir kumpulan menentang Jepun pada Rabu ini, manakala pasukan The War Elephant yang dilatih Thogchai Rungreangleas bakal bertemu Tajikistan.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, pasukan negara akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan B yang terdiri daripada pasukan Korea Utara, Oman, Yaman dan Jordan pada aksi suku akhir yang dijadualkan 30 September.

Sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A, perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, manakala jika naib juara akan beraksi di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Perlawanan separuh akhir pada 4 Oktober akan berlangsung di Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya, manakala final pula pada 7 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk rekod, empat pasukan terakhir layak ke aksi Piala Dunia B-17 yang bakal berlangsung di Peru tahun depan.

SENARAI PEMAIN: 

Thailand: Anuchid Taweesri, Arthit Bua-Ngam, R.Chatmongkol, Kittichai Yaidee, jakkrapong Sanmahung, Thanarin Thumsen, Sarawut Saowaros, Waragon Thongbai, Suphanat Muenta, Thanakrit Laorkai, Thanarat thumsen

MALAYSIA: Muhammad Firdaus Ramli, Muhammad Hariz mansor, Muhammad Najmudin Akmal, Muhammad Firdaus Kaironnisam, Luqman Hakim Shamsudin, Muhamad Alif Mutalib, Muhammad Raimi Shamsul, Ahmad Zikri Khalili, Muhamad Umar Hakeem Suhar, Harith Hiqal Adam, Abdul Alim Al Amri Ali

Pengadil: Omar Mohames Ahmed Hassan

Jumlah penyokong: 8596 orang

AFCB16, Malaysia, Thailand

Artikel Sebelum

Doa netizen buat Chong Wei

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan