KUALA LUMPUR: Bersatu di belakang bekas wira badminton nombor satu dunia, netizen menyatakan kasih dan berdoa supaya Datuk Lee Chong Wei akan mengekalkan semangat juangnya hingga ke puncak dalam perjuangan hidupnya menentang kanser. Mesej positif dan kata-kata dorongan terus mengalir ke akaun rasmi Instagramnya (@leechongweiofficial) sejak berita tentang penyakitnya tersebar pada Jumaat. Ucapan selamat bukan sahaja datangnya dari rakyat Malaysia tetapi juga peminat dari negara lain. Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam Instagramnya berharap Chong Wei segera pulih. Khairy yang turut berkongsi gambar anaknya dan Chong Wei dengan kapsyen berkata: "GWS (semoga segera sembuh), kawan ku. Tewaskan ini seperti anda tewaskan semua orang di gelanggang.@leechongweiofficial”. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam mengesahkan bahawa bekas nombor satu dunia itu sedang menerima rawatan untuk kanser hidung di Taiwan dan kini keadaannya beransur pulih. Pada bulan Julai, BAM mengeluarkan kenyataan bahawa Chong Wei tidak akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan besar akibat masalah pernafasan dan telah dinasihatkan oleh doktor untuk berehat. Selebriti Alif Satar (@alifsatar) dan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (@zatashah) berdoa agar Chong Wei cepat sembuh. Peminat badminton dari Indonesia, @ m.aditya_fp berkata: "Saya dari Indonesia dan saya sangat mengagumi Datuk Lee Chong Wei dengan epik permainannya. Semoga Datuk cepat sembuh dan boleh bermain badminton lagi". Beberapa netizens menyuarakan harapan mereka agar Chong Wei akan kembali sihat dan akan menerima hakikat jika legenda badminton itu memutuskan untuk tidak bermain lagi. "Semoga cepat sembuh idola ku. Kalau sebelum ini masih mengharap agar Dato boleh main lagi tapi kali ini ... tolong ... hanya fikir untuk pulih dan banyak berehat. Tidak perlu bermain lagi, selagi anda masih bersama kami," kata @ nfeez.cw -- Bernama