JAKARTA: Bola sepak Indonesia terus tercemar dengan insiden kematian penyokong bola sepak akibat pergaduhan. Terbaru, seorang penyokong kelab bola sepak Persija Jakarta mati dibelasah sekumpulan penyokong kelab Persib Bandung semalam. Dalam kejadian 1 tengah hari sebelum perlawanan itu, mangsa Haringga Sirilla, 23, mati dibelasah penyokong lawan di luar Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Kota Bandung.Ketua Polis Bandung, M Yoris Maulana berkata 10 suspek ditahan berhubung insiden itu. Kejadian pergaduhan yang membawa maut bukanlah perkara baharu membabitkan kedua-dua pasukan dalam Liga 1 bola sepak Indonesia. Pada perlawanan semalam, Persib Bandung menewaskan Persija Jakarta 3-2, untuk terus kekal di tangga teratas Liga 1, manakala Persija kini di tangga keenam. Dilaporkan, tujuh penyokong dari kedua-dua kelab itu terbunuh akibat pergaduhan sejak 2012.Insiden terbaru semalam itu menimbulkan kebimbangan berkenaan masa depan bola sepak Indonesia yang sering dicemari pergaduhan. Di peringkat antarabangsa, sikap agresif dan provokatif penyokong Indonesia juga sering kali menimbulkan kebimbangan ramai pihak apabila pasukan itu beraksi di Indonesia. Pada aksi Piala AFF bawah 19 tahun pada Julai lepas misalnya, pemain Malaysia dihujani balingan botol dan batu, malah lagu Negaraku turut diejek penonton lawan ketika aksi bertemu Indonesia di Surabaya. Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Ratu Tisha Destria ternyata kesal dengan sikap segelintir peminat bola sepak Indonesia yang tidak profesional dan tidak mengamalkan semangat kesukanan itu. "Kalau bicara edukasi (pendidikan kepada penonton bola sepak), kita komited sampai mati untuk memberikan edukasi. Kita akan terus, tidak akan berhenti, tidak akan pernah capek (letih)," kata wanita itu. Insiden terbaru kematian penyokong bola sepak itu turut menimbulkan pelbagai polemik di media Indonesia. Para netizen, pemerhati bola sepak serta pemimpin politik Indonesia mahukan tindakan agresif diambil demi masa depan bola sepak Indonesia. Memetik kata-kata Ratu Tisha yang pastinya perlu dihayati para peminat bola sepak Indonesia: "Kita semua sudah tahu betapa hebatnya suporter Jepang (Jepun) yang bersih-bersihkan stadium setelah (sekalipun pasukannya) kalah (dalam aksi Piala Dunia 2018). "Tapi, ketika kita kalah yang levelnya baru di peringkat liga tempatan atau Asia, jangankan (untuk) membersihkan sampah, malah kita melemparnya (kepada pemain lawan)," katanya. Bekas pemain Selangor yang juga kini pemain kelab Persija Jakarta, Bambang Pamungkas yang kesal dengan kejadian terbaru itu berkata sukan bola sepak tidak perlu lagi diadakan di Indonesia jika kejadian pergaduhan membawa kematian itu berterusan berlaku. "Agak ngilu sih bayangin tidak ada sepak bola di Republik, tapi saya setuju," kata Bambang dalam entri Twitternya.- Bernama