BEKAS pemain Sunderland dan Manchester City yang dipenjarakan kerana kesalahan serangan seksual, Adam Johnson dijangka dibebaskan dengan parol pada Mac 2019. The Sun melaporkan, pemain yang dikenakan hukuman enam tahun penjara sejak Mac 2016 itu menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Hartlepool United selepas dibebaskan tahun depan. Berstatus pedofilia kerana mencabuli remaja perempuan yang juga peminatnya, Johnson dikatakan telah menolak tawaran untuk bermain di China dan berhubung terus dengan Hartlepool United yang ketika ini sedang bersaing di peringkat liga nasional. Insiden jenayah itu berlaku dalam kereta bintang bola sepak berusia 31 tahun itu di County Durham, membabitkan mangsa berusia 15 tahun. Sebelum ini, Johnson memperoleh pendapatan £60,000 (RM324,370) seminggu dan mempunyai seorang anak perempuan, Ayla dengan bekas teman wanitanya Stacey Flounders. Walaupun Johnson berhubung dengan Hartlepool United, salah satu sumber menyatakan bahwa Johnson mungkin tidak akan menyambung kembali kerjayanya dalam saingan tempatan. Jurucakap Hartlepool United bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai hasrat Johnson itu. Malahan, ahli keluarganya juga menafikan perkara itu. - DailyMail