suria

Akhyar hijrah ke Thailand?

Gambar Akhyar di Johor tersebar di laman sosial dan menjadi perbualan penyokong-penyokong setia Kedah. Foto: Facebook

PETALING JAYA: Penyerang muda berbisa Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dikaitkan dengan isu penghijrahan apabila bakal berubah angin menjelang saingan musim depan.

Khabar angin itu timbul selepas Akhyar atau terkenal dengan jolokan 'Neymar Kedah' dilihat merakam gambar di sebuah kelab di selatan tanah air beberapa hari lalu.

Pemain Bawah 23 Tahun kebangsaan berusia 19 tahun itu sememangnya menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila tampil dengan aksi yang menarik dalam setiap perlawanan dan turut merakam gol-gol penting.

Namun dalam kerancakan penyokong-penyokong membincangkan status Akhyar yang berkemungkinan meninggalkan Kedah musim depan, hakikatnya  pemain muda itu sudah ada perancangannya sendiri.


Menurut sumber-sumber yang rapat dengan pemain berpotensi itu, gambar Akhyar di Johor itu sebenarnya hanya lawatan sahaja.

"Saya boleh katakan dia hanya pergi melawat ke sana," ujar satu sumber itu kepada mStar Online.

Malah menurut sumber berkenaan, pemain itu sebenar dalam proses perbincangan dengan sebuah kelab di Thailand.

"Buat masa sekarang ia masih di tahap perbincangan dan menampakkan positif. Tetapi saya tidak boleh berkongsi apa-apa lagi maklumat lanjut kerana ia boleh mengganggu perbincangan ini.

"Bagi saya jika ia benar-benar berlaku, ia satu peluang yang baik buat Akhyar mencari pengalaman di luar negara.

"Dalam masa sama, kami perlu menghormati juga Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memandangkan kontraknya masih berbaki setahun," tambah sumber tersebut.

Sementara itu, pelbagai pandangan dilemparkan kepada Akhyar berikutan status terkini pemain itu di Facebook Penyokong Setia Kedah.



Akhyar Rashid

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan