PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho berkata dia tidak masalah dengan Paul Pogba meskipun melucutkan jawatan pemain tengah itu sebagai naib kapten pasukan. Mourinho berkata keputusan itu dibuat kerana bimbang mengenai sikapnya. "Satu-satunya kebenaran ialah saya telah membuat keputusan bahawa Paul tidak akan lagi menyandang jawatan kapten kedua (naib), tetapi tiada pertengkaran berlaku, tiada masalah sama sekali. "Saya adalah pengurus, saya boleh membuat keputusan tersebut. "Tiada pertengkaran sama sekali, tiada masalah, hanya keputusan yang saya tidak harus jelaskan," katanya. Pogba dimaklumkan mengenai keputusan itu sebelum aksi menentang Derby. Mourinho merehatkan pemain berusia 25 tahun itu bersama beberapa lagi pemain lain pada perlawanan tersebut. "Mereka direhatkan. Saya merehatkan Luke Shaw, Paul, Victor Lindelof, Antonio Valencia dan David de Gea. Saya perlu menurunkan pasukan yang bagus," katanya.