KUALA LUMPUR: Pemecatan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) negara oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis dibuat kerana bekas pemain kebangsaan itu bukan di bawah kontrak badan induk berkenaan. Setiausaha Agung FAM, Michael Stuart Ramalingam berkata badan induk itu secara rasmi menamatkan khidmat Teong Kim selepas kempen Malaysia berakhir pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang sedang berlangsung di sini. “Beliau (Teong Kim) dan FAM tiada kaitan sama sekali kerana beliau kakitangan dilantik Kementerian Belia dan Sukan, dan bukannya FAM,” kata Ramalingam seperti dipetik dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM pada Jumaat. Mengulas lanjut, Ramalingam menegaskan penamatan khidmat Teong Kim sebagai ketua jurulatih skuad B-16 dan juga ketua jurulatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) adalah dua isu berbeza. “Mengenai PPBN, FAM sedang dalam perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian mengenai penilaian semula program itu berikutan keputusan ini,” kata Ramalingam. “Sebelum ini, FAM tidak pernah terlibat atau berunding dalam elemen teknikal mengenai program itu,” katanya. Ramalingam, bagaimanapun berkata FAM memberi sokongan penuh kepada PPBN dalam melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat dalam kalangan usia muda. “Kita merasakan ini projek yang hebat, tetapi kita ingin menekankan perlunya penilaian semula supaya semua pihak mendapat apa yang diinginkan selari dengan matlamat mencapai keputusan yang diharapkan,” katanya. “Keputusan dibuat FAM itu demi kepentingan dan pembangunan bola sepak di Malaysia. Kita ingin bekerjasama dengan semua pihak dalam mewujudkan suasana lebih positif dan kondusif yang mungkin masih kurang sebelum ini,” tegas Ramalingam. Pada Khamis, FAM memutuskan untuk menamatkan khidmat Teong Kim selepas Malaysia gagal mara ke peringkat kalah mati Kejuaraan B-16 AFC 2018 susulan tewas 0-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Keputusan dibuat badan induk bola sepak negara itu, bagaimanapun menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial yang menggesa FAM menimbang semula keputusan tersebut. - BERNAMA