ZINEDINE Zidane amat berminat untuk menggantikan Jose Mourinho sebagai pengendali Manchester United dan sudah mula mengikuti kelas belajar bahasa Inggeris. The Red Devils bergelut dengan prestasi hambar di awal musim dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liverpool. Memburukkan lagi keadaan, United turut dicemari dengan cerita kurang enak sejak perbalahan Mourinho dengan pemain sensasinya, Paul Pogba. Mereka bertikam lidah semasa sesi latihan di Carrington dan Mourinho dilaporkan kecewa dengan sikap Pogba selepas United tersingkir pada saingan Piala Carabao susulan tewas kepada Derby County. Zidane disebut-sebut sebagai pengganti Mourinho sejak dia meninggalkan Real Madrid. Dan kini The Sun mendakwa Zidane sedang mempelajari bahasa Inggeris sebagai persediaan untuk berhijrah ke England. Dengan tekanan yang diterima Mourinho selepas pertelingkahannya dengan Pogba, Zidane sudah bersedia untuk mengambil alih jawatan pengendali dari Portugal itu. Malah, Zidane sudah menolak beberapa tawaran lain sejak meninggalkan Santiago Bernabeu dan menganggap United sebagai pilihan utamanya ketika ini. Zidane yang dilaporkan berada di London minggu ini untuk menghadiri Anugerah Bola Sepak FIFA, pernah cuba mendapatkan khidmat Pogba ke Santiago Bernabeu sebelum ini. - Metro.co.uk